Thai boleh bantu penoreh, kenapa tidak Malaysia?

AMANAH Sik giat dengan program Peduli Rakyat terhadap masyarakat penoreh getah yang menghuni di kawasan pedalaman.

Menjawab kenyataan balas daripada Pengerusi RISDA, Datuk Zahidi Zainul Abidin dan Pengarah Lembaga Getah Malaysia (LGM) termasuk Menteri Pertanian berkenaan perbandingan harga getah di Malaysia dan Thailand.

Kita akui bahawa penurunan harga komoditi getah melibatkan harga getah antarabangsa merangkumi kejatuhan nilai harga minyak seluruh dunia.

Di Thailand, Kabinet mereka telah meluluskan pakej bantuan 12.75 bilion baht (RM1=8.30 baht) bagi membantu pekebun getah yang terjejas teruk berikutan harga rendah komoditi itu yang berpanjangan.

Bantuan tersebut termasuk suntikan dana khas dari kerajaan Thailand sendiri bagi mengimbangi pendapatan penoreh getah.

Ini menjjadikan purata penjualan harga getah sekilo (RM1.83 hingga RM2.20) dengan penambahan dana dari kerajaan Thailand menjadikan RM3.50 hingga RM4 sekilogram untuk membantu penoreh penoreh getah mereka.

Ini diumumkan sendiri oleh Perdana Menteri Jeneral Prayuth Chan-ocha berkenaan bantuan tersebut bagi kawasan penanaman getah yang sah, dan pemilik tanah akan memperoleh 900 baht setiap hari (satu hari bersamaan 0.16 hektar) manakala penoreh getah akan mendapat 600 baht (RM60 ke atas) setiap hari.

Berbanding di Malaysia, penoreh getah hanya mendapat RM25 hingga RM40 sehari jika bersamaan 0.16 hektar.

Semasa pembentangan Bajet 2015 pada 10 Oktober 2014, Najib Razak mengumumkan peruntukan awal dana sebanyak RM100 juta untuk Insentif Pengeluaran Getah (IPG) bagi membantu penoreh penoreh getah.

Adalah menjadi tugas Perdana Menteri hanya membaca tanpa mengkaji kelemahan sistem IPG yang sudah dilaksanakan sekarang.

Paras harga pengaktifan IPG ditingkatkan kepada harga getah SMR 20 FOB RM5.10 sekilogram daripada RM4.60 sekilogram atau harga ‘farmgate’ adalah pada kadar kurang daripada RM2.00 sekilogram.

Jika dibahagikan dengan pemberian yang dibuat oleh kerajaan Malaysia, masih terlalu rendah jika dibandingkan dengan sistem penaikan taraf getah Malaysia berbanding kerajaan Thailand.

Pendapatan mereka masih tidak mampu mencapai RM60 ke atas sehari berbanding apa yang dilakukan oleh penambahbaikan dari Kerajaan Thailand untuk membantu para penoreh mereka.

Pemberian IPG pada bulan semasa berdasarkan purata harga getah SMR 20 FOB atau purata harga farmgate pada bulan sebelumnya bagi Semenanjung, IPG akan diuruskan oleh Lembaga Getah Malaysia (LGM) manakala di Sabah oleh Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS) dan di Sarawak oleh Jabatan Pertanian Sarawak (JPS) dan LGM.

Pekebun kecil boleh membuat tuntutan di mana- mana pejabat wilayah LGM di Semenanjung dan JPS di Sarawak dengan mengemukakan resit rasmi jualan dan Permit Autoriti Transaksi Pekebun Kecil Getah (PATG).

Dalam kes Sabah, LIGS akan menggunakan mekanisme pendaftaran pekebun kecil. Sistem IPG ini masih lagi berada paras lemah yang menyulitkan rakyat atau penoreh itu sendiri dengan melibatkan kos pengangkutan an keseluruhan penoreh getah Malaysia. Ianya juga tidak mencapai tahap bantuan minimum bagi pengambilan dana ini.

Selepas kenyataan dari Kerajaan Thailand berkenaan bantuan harga getah di negara mereka, sebanyak 15 peratus penurunan golongan penoreh berbangsa Thailand (Pattani) telah berkurangan di Malaysia.

Itu satu kebaikan juga buat Malaysia kerana mengurangkan pekerja asing (penoreh) di sini dan memberi peluang kepada rakyat malaysia untuk bekerja.

Namun, dari segi mekanisme bentuk caruman dana bagi membantu penoreh-penoreh getah malaysia, kerajaan Malaysia masih lagi lemah dan angkuh untuk membuat suntikan khas bagi paras harga lantai RM3.50 hingga RM4.00 sekilo.

Seandainya pihak Jabatan Menteri, Pertanian, RISDA atau LGM sendiri ingin membuat perjumpaan bersama kami bagi mencari jalan penyelesaian, kami sedia berbincang di meja bulat dengan memberikan beberapa usul termasuk perbincangan peringkat tertinggi Jawatankuasa Menteri Majlis Getah Tiga Pihak Antarabangsa (ITRC) dan IRC melibatkan tiga negara iaitu Malaysia, Thailand dan Indonesia.

Ini juga melibatkan kerugian jutaan USD setiap tahun melibatkan industri getah Malaysia. Itu belum lagi termasuk industri lateks dan sebagainya.

* Penulis merupakan Pengarah Biro Tanah, Pertanian dan Luar Bandar AMANAH Kedah merangkap Ketua AMANAH Kawasan Sik.

COMMENTS

Wordpress (0)