Malaysia Dateline

Thailand boleh, mengapa Malaysia tidak haramkan pembalakan komersial?

Kerajaan mesti mengharamkan pembalakan komersial bagi mengelakkan bencana banjir yang mendatangkan banyak kemusnahan, tegas Presiden Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (PEKA), Puan Sri Shariffa Sabrina Syed Akil.

Menurutnya, Malaysia perlu menuruti tindakan Thailand yang mengharamkan pembalakan komersial sejak 1989 ekoran bencana banjir besar yang mengorbankan lebih 350 rakyatnya.

Larangan aktiviti pembalakan sejak 33 tahun itu adalah susulan perintah yang dikeluarkan oleh Raja Thailand.

“Kita patut melakukan perkara sama. Thailand amat serius dalam menjaga hutannya.
“Mana-mana orang yang ditangkap melakukan pembalakan di Thailand akan dihukum tembak,” dipetik FMT.

Beliau berkata demikian ketika mengulas isu pembalakan yang dikaitkan dengan bencana banjir besar baru-baru ini.

Terdapat beberapa dakwaan bahawa aktiviti pembalakan secara berleluasa mengakibatkan banjir besar yang menjejaskan sembilan negeri.

Walau bagaimanapun, beberapa penguasa negeri telah menyangkal dakwaan tersebut walaupun penempatan mangsa banjir dipenuhi sisa kayu balak termasuk yang dipotong dalam keadaan baik.

Mengulas lanjut, Shariffa Sabrina mengakui bahawa pengharaman aktiviti pembalakan akan menjejaskan hasil pendapatan negeri namun katanya, pemimpin politik yang mengeluh mengenai perkara itu tidak berfikir panjang.

“Pembalakan mendatangkan hasil berjuta-juta, tetapi apabila semua pokok hilang, siapa yang mahu datang ke negara kita?” tempelaknya.

Beliau menegaskan hutan hujan di negara ini adalah antara yang terindah di dunia.

“Apabila hutan hilang, tidak akan ada lagi pelancongan eko yang bersifat jangka panjang dan mampan,” ujar Shariffa Sabrina lagi.