Thailand cari peluang perdagangan dan pelaburan di Malaysia Timur

Thailand cari peluang perdagangan dan pelaburan di Malaysia Timur
Duta Thailand ke Malaysia Narong Sasitorn.-Foto Facebook.

Usahawan Thailand daripada pelbagai industri sedang mencari peluang usaha sama dengan ahli perniagaan Sabah dan Sarawak menerusi Forum Menyambungkan Perdagangan serta Hubungan Pelaburan antara Thailand dan Malaysia Timur.

Duta Thailand ke Malaysia Narong Sasitorn berkata, forum itu, yang akan berlangsung pada 21 Ogos di Kota Kinabalu dan 23 Ogos depan di Kuching, akan menonjolkan prospek masa hadapan ekonomi Thailand di bawah kerajaan yang baru dipilih termasuk menggariskan peluang perdagangan yang berpotensi antara Thailand dan Malaysia Timur.

“Malaysia dan Thailand mempunyai hubungan perdagangan dan pelaburan yang agak lama. Bagaimanapun, hubungan ini hanya berkisar antara Thailand dengan Semenanjung Malaysia, terutamanya di Lembah Klang dan Pulau Pinang.

“Dengan sumber alam yang kaya, Sabah dan Sarawak adalah antara negeri yang mempunyai banyak potensi perniagaan. Saya benar-benar berharap bahawa acara ini akan membuka peluang perniagaan serta perkongsian antara kedua-dua negara dan merapatkan hubungan komuniti perniagaan kita,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Forum itu akan dianjurkan secara bersama oleh Pejabat Hal Ehwal Perdagangan di bawah Jabatan Penggalakkan Perdagangan Antarabangsa, Kementerian Perdagangan Thailand, Persekutuan Industri Sabah, dan Persekutuan Perniagaan Sarawak.

Sejumlah 11 syarikat dari Thailand akan mengambil bahagian dalam sesi padanan perniagaan dengan peneraju perusahaan Sabah dan Sarawak yang terlibat dalam industri makanan, automotif serta pembuatan.

Sementara itu, Kaunselor Menteri Thailand bagi Hal Ehwal Perdagangan Thailand Patcha Wutipan berkata forum itu akan membuka peluang yang besar bagi usahawan Thailand, Sabah dan Sarawak untuk membina rangkaian mereka.

“Kami berhasrat untuk mengembangkan perdagangan dua hala termasuk meneroka peluang-peluang pelaburan di Sabah dan Sarawak.

“Bagaimanapun, terdapat juga beberapa cabaran yang kita perlu atasi, terutamanya kekurangan maklumat mengenai satu sama lain, kos logistik serta pengangkutan yang tinggi bagi mengembangkan jumlah perdagangan sama ada daripada segi eksport atau import,” katanya.

Terdapat beberapa industri yang mana Thailand memiliki kelebihan seperti industri agro, makanan dan minuman, automotif, penyejukan serta penyaman udara, pelancongan dan perkhidmatan kreatif.

“Ini merupakan bidang yang berpotensi bagi Thailand, Sabah dan Sarawak memulakan usaha sama perniagaan,” katanya lagi.- BERNAMA