Malaysia Dateline

Thailand, Indonesia, Malaysia kurangkan eksport getah asli sebanyak 240,000 tan

Thailand, Indonesia dan Malaysia, pengeluar getah asli utama dunia, bersetuju untuk mengurangkan eksport getah asli sebanyak 240,000 tan metrik untuk tempoh empat bulan, mulai 1 April bagi meningkatkan harga komoditi itu.

Tiga negara tersebut menyumbang kira-kira 70 peratus daripada pengeluaran getah asli global.

Dalam kenyataan hari ini,  Majlis Getah Tiga Pihak Antarabangsa (ITRC) berkata pegawai kanan dari negara-negara tersebut bermesyuarat di Bangkok pada 4-5 Mac untuk memuktamadkan butiran pelaksanaan Skim Jumlah Eksport Yang Dipersetujui (AETS) Keenam.

“Di bawah pelaksanaan AETS Keenam, ketiga-tiga negara tersebut bersetuju berhubung pengurangan eksport sebanyak 240,000 tan metrik getah asli.

“AETS akan dilaksanakan melalui pengawal selia domestik masing-masing,” katanya.

Sementara itu, ITRC berkata jawatankuasa pemantauan dan pengawasan telah diwujudkan untuk memantau dan memastikan pematuhan dengan AETS.

“Pegawai-pegawai kanan menyatakan keputusan yang dibuat oleh menteri dalam meneruskan usaha untuk meningkatkan penggunaan getah asli domestik di negara-negara anggota ITRC melalui Skim Promosi dan Permintaan (DPS), termasuk projek jalan raya berasaskan getah.

“Thailand, Indonesia dan Malaysia yakin inisiatif kerjasama ini akan memastikan harga yang baik untuk semua pekebun kecil getah dan pihak berkepentingan lain dalam industri getah asli,” katanya.

— BERNAMA