Thailand kemuka cadangan jadikan tarian rakyat sebagai Tapak Warisan dunia UNESCO

Thailand kemuka cadangan jadikan tarian rakyat sebagai Tapak Warisan dunia UNESCO

Kabinet Thailand meluluskan cadangan Kementerian Kebudayaan untuk menjadikan tarian rakyat di wilayah selatan negara itu sebagai Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Persatuan Bangsa Bersatu (UNESCO).

Penolong Jurucakap Kerajaan, Kolonel Athisit Chainuwat berkata perkara itu diputuskan pada mesyuarat mingguan kabinet pada 12 Mac, lapor agensi berita Thailand (TNA).

Katanya, di bawah pelan diluluskan, Kementerian Kebudayaan mencadangkan tarian “Nora” yang sering dimainkan oleh masyarakat di empat wilayah di selatan iaitu Phattalung, Trang, Nakhon Si Thammarat dan Songkhla, menjadi warisan dunia UNESCO.

Permohonan bertulis mengenai cadangan itu akan dikemukakan kepada UNESCO menjelang akhir bulan ini,

Cadangan itu bukan hanya bertujuan untuk memulihara dan mengekalkan warisan kebudayaan tetapi juga bagi menggalakkan kerjasama antarabangsa.

Ia juga sebagai penghargaan kerajaan Thailand kepada masyarakat etnik, kumpulan dan komuniti.

UNESCO sebelum ini telah mendaftarkan permainan tradisi dikenali “Khon” dalam senarai warisan kebudayaan dan urutan tradisional Thailand juga dijangka didaftarkan dalam masa terdekat.

— BERNAMA