Thailand perlu seri di Bukit Jalil – “Zico”

Thailand perlu seri di Bukit Jalil – “Zico”

Bekas ketua jurulatih Thailand, Kiatisuk Senamuang percaya skuad ‘Gajah Perang’ seharusnya mencatat keputusan seri pada aksi separuh akhir pertama Piala AFF Suzuki 2018 menentang Malaysia di Stadium Nasional Bukit Jalil di Kuala Lumpur, malam esok.

Keputusan seri bagi anak buah Milovan Rajevac itu esok, menurutnya adalah bekalan yang baik untuk aksi timbal balik di Stadium Rajamangala, Bangkok pada 5 Dis ini.

“Matlamat kita untuk perlawanan esok adalah mencatat keputusan seri berdepan pasukan Malaysia, supaya kita memperoleh peluang cerah mara ke final kerana kita akan beraksi di laman sendiri (pada separuh akhir kedua) minggu depan.

“Jika kita berjaya mencatat keputusan seri menentang Malaysia, kita boleh anggap (keputusan seri itu) satu kejayaan,” kata bekas penyerang pasukan Thailand ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Semasa menjadi ketua jurulatih skuad senior Thailand dari 2014 hingga 2018, Kiatisuk atau digelar “Zico” oleh peminat bola sepak ???????negara itu, berjaya membawa pasukannya meraih kejuaraan Piala AFF Suzuki edisi 2014 dan 2016.

Thailand kini memburu kejuaraan ketiga berturut-turut pada Piala AFF Suzuki tahun ini.

Biarpun percaya keputusan seri sudah memadai buat pasukan Thailand, Kiatisuk bagaimanapun tidak menolak kemungkinan skuad Gajah Perang mampu meraih kemenangan kerana peluang adalah 50-50 pada perlawanan esok.

“Namun (kemenangan) itu bukan satu yang mudah kerana kita akan beraksi di gelanggang mereka (Stadium Nasional Bukit Jalil),” katanya sambil mengakui sokongan padu daripada 80,000 penyokong Malaysia boleh menjadi faktor penting dalam menentukan keputusan perlawanan esok.

Loading...

Penyokong Malaysia, beliau berkata boleh mempengaruhi dan membakar semangat pemain Harimau Malaya, sekali gus boleh memberi lebih tekanan kepada pemain Thailand.

Walaupun menjangkakan tugas berat buat skuad Gajah Perang di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kiatisuk percaya barisan pemain Thailand mampu menyerap tekanan kerana pasukan itu dibarisi ???????pemain lebih baik dan berpengalaman berbanding pasukan lawan.

Ditanya mengenai mana-mana pemain Malaysia yang boleh memberi ancaman kepada Thailand, katanya pemain Harimau Malaya memakai jersi nombor sembilan, Norshahrul Idlan Talaha yang berada pada prestasi terbaik sepanjang kejohanan itu dengan menjaringkan empat gol setakat ini, boleh memberi masalah kepada pasukan Thailand.

“Sudah tentu pemain memakai jersi nombor sembilan, beliau pemain berpengalaman dan penuh dengan helah, jadi kita perlu mengawasinya dan jangan biarkan dia bergerak bebas,” katanya merujuk kepada  penyerang Malaysia itu.

Norshahrul atau “Mat Yo” kini berada di belakang pemain Thailand Adisak Kraisorn, yang sudah menjaringkan lapan gol setakat ini.

Satu lagi aksi separuh akhir menyaksikan pertemuan antara Vietnam dan Filipina.

— BERNAMA