Thailand pertimbang lantik ketua panel baharu bagi dialog keamanan di selatan

Thailand pertimbang lantik ketua panel baharu bagi dialog keamanan di selatan

Thailand mempertimbangkan untuk melantik ketua panel perunding baharu untuk menyambung semula dialog perdamaian di selatan Thailand, kata Perdana Menteri Jeneral Prayuth Chan o-cha hari ini.

Beliau berkata ketua panel perunding kerajaan Thailand, Jen Udomchai Thammasarorat telah dilantik sebagai senator baru-baru ini.

Dialog perdamaian terganggu sejak Februari berikutan kekecewaan Mara Patani, badan yang mewakili beberapa kumpulan pejuang di selatan Thailand, dengan tindakan Udomchai yang enggan bertemu panel perundingan Mara Patani di Kuala Lumpur.

Prayuth yang merupakan Menteri Pertahanan dan Ketua Pemerintahan Operasi Keselamatan Dalam Negeri (ISOC) berkata rundingan damai akan disambung semula.

“Ketua perundingnya Jen Udomchai atau tidak… dalam pertimbangan (sama ada ditukarkan atau kekal),” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Prayuth ditanya sama ada siri pengeboman di ibu negara pada Jumaat akan mendorong kerajaan memberi keutamaan dalam menyelesaikan konflik di selatan Thailand memandangkan panel dialog Majlis Syura Patani (Mara Patani) menggesa untuk meneruskan dialog perdamaian itu.

Bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Rahim Noor dilantik pada Ogos tahun lepas sebagai fasilitator untuk proses damai di selatan Thailand antara kerajaan Thai dan Mara Patani.

Sementara itu, Prayuth berkata rundingan damai itu perlu dijalankan dengan teliti.

“Kerajaan (Thailand) tidak boleh melaksanakannya sendirian, kita memerlukan bantuan negara jiran (Malaysia) (untuk rundingan damai),” katanya.

Setakat ini, kira-kira 7,000 orang telag terkorban dalam konflik di empat wilayah di selatan Thailand iaitu Pattani, Narathiwat, Yala dan Songkhla.– BERNAMA