Malaysia Dateline

Thailand sahkan enam lagi kes baharu koronavirus

Thailand mengesahkan enam kes baharu jangkitan 2019 novel koronavirus, menjadikan 14 kes dilaporkan di negara itu, menurut pegawai kesihatannya.

Setiausaha Tetap Kementerian Kesihatan Awamnya, Dr Sukhum Kanchanapimai berkata enam warga China itu yang berusia enam hingga 60 tahun telah disahkan dijangkiti virus tersebut.

Lima daripada mereka dari wilayah Hubei manakala seorang lagi dari bandar Chongqing.

“Keenam-enam pesakit itu kini menerima rawatan di Institut Penyakit Berjangkit Bamrasnaradura di Nonthaburi. Keadaan mereka semakin pulih,” katanya pada taklimat harian kepada media berhubung situasi koronavirus di Thailand, di kementerian itu di sini hari ini.

Daripada 14 kes yang disahkan itu, lima pesakit telah dibenarkan keluar hospital.

Sementara itu, Dr Sukhum berkata Thailand akan membuat saringan terhadap semua pelancong yang datang dari China di semua lapangan terbangnya.

Saringan terhadap penumpang telah dilaksanakan di lima buah lapangan terbang – Suvarnabhumi, Don Mueang, Chiang Mai, Phuket dan Krabi.

Sehingga kini, katanya, 81 pesakit telah dikuarantin di beberapa hospital kerana disyaki dijangkiti koronavirus.

Dilaporkan kematian akibat wabak koronavirus telah meningkat kepada 106 orang, manakala jumlah yang dijangkiti kini mencecah lebih 4,500 orang.– BERNAMA