“The Deal of the Century” bertujuan hancurkan Palestin

Kebanyakan daripada butiran penuh rancangan damai Presiden AS, Donald Trump yang diberi nama “Perjanjian Abad Ini” (“Deal of the Century”) itu bukanlah sesuatu yang mengejutkan kerana sepanjang 18 bulan lepas, kebanyaka kandungannya  telah dibocorkan oleh para pegawai Israel  di sana sini. Kadang-kadang kita boleh membacanya dalam akhbar Haretz Israel atau Jerusalem Post juga.

Pada saya apa yang dikenali sebagai “Wawasan untuk Keamanan” yang dikemukakan daripada “Perjanjian Abad Ini” oleh Trump pada Selasa lepas itu selama ini adalah mengikut konsensus di Israel iaitu: kawasan-kawasan penempatan sementara dan haram yang diduduki mereka selama setengah abad ini sekarang telah menjadi hak milik Israel sepenuhnya.  Dan melalui “Deal of the Century” wawasan penduduk Palestin untuk menjadi sebuah negara telah hancur kerana perjanjian ini tidak membuka sebarang ruangpun untuk mereka diberikan hak  berkerajaan sendiri.

Apatah lagi White House di bawah Trump tidak lagi membawa nama sebagai broker damai antara kedua pihak ini, seperti yang diagungkan media korporat Barat pro-AS itu. Selama ini hakikatnya AS bukanlah broker damai atau orang tengah yang boleh dipercayai, Washington memang memihak kepada Israel.

Bayangkan perjanjian yang dirancang di Israel sekadar mendapatkan kebenaran Washington menguasai  segala kawasan penempatan haram yang diduduki, kawasan yang bertebaran di Tebing Barat dan kawasan pertanian di Lembah Jordan. Dalam masa yang sama pihak tentera Israel akan terus menjaga keselamatan ke atas seluruh Tebing Barat.

Ternyata perjanjian ini tidak dirundingi dengan mana-mana pihak Palestin, sama ada dengan rakan akrabnya satu ketika dahulu iaitu Fatah dan kalau dijemput pun tiada pihak Palestin yang mahu bersekongkol dengan perjanjian yang ingin memadamkan Palestin daripada peta dunia.

Ini telah diumumkan sendiri oleh Perdana Menteri entiti haram Israel, Benjamin Netanyahu bahawa niatnya untuk membentang pelan perampasan di hadapan kabinet secepat mungkin iaitu pada 2 Mac depan.

Bahkan tanpa sebarang masukan dalam perjanjian ini, pelan damai Trump ini juga telah meluluskan penguasaan sepenuhya ke atas Baitulmaqdis Timur, yang hendak dijadikan Palestin sebagai ibu negaranya. Bahkan agak menghinakan apabila sebuah bandar kecil di luar Baitul Maqdis bernama Abu Dis hendak dijadikan ibu negara baharu Palestin.

Tiada rundingan dengan pihak PLO, Fatah (komponen utama dalam PLO) atau Hamas namun terus diputuskan oleh AS dan Israel. Mereka tidak menghormati Palestin dan hak bernegaranya.

Kesangggupan AS menawarkan Abu Dis sebagai ibu negara baharu yang terletak jauh dari Baitulmaqdis adalah helah untuk memberikan kota Baitul Maqdis kepada entiti haram Israel itu. Pihak berkuasa Israel mencadangkan membina jambatan yang menghubungkan Abu Dis ke Masjid Al Aqsa dan jika ini berlaku bermakna Masjid Al Aqsa akan dibahagikan dengan pihak Yahudi ekstemis seperti yang berlaku di Hebron.

Peta yang dilakarkan AS pada Selasa lepas itu menunjukkan lingkungan Palestin yang dihubungkan dengan beberapa jambatan dan terowong termasuk dengan Tebing Barat dan Gaza.

Semasa saya di Gaza kira-kira lima tahun lalu, saya sempat masuk ke dalam sebuah terowong yang digunakan untuk mengangkut batu granit untuk membina rumah dan bangunan. Di samping itu terdapat banyak terowong di Gaza, ada terowong untuk orang biasa, terowong untuk kemasukan kenderaan , bahan makanan dan sebagainya.

Banyak juga terowong yang dibom oleh pihak Israel dan Mesir. Perwujudan terowong kerana kesukaran melintasi  di sempadan Rafah yang dikawal ketata oleh Pihak berkuasa Mesir dengan segala alasan yang tidak wajar. Inilah yang membawa kepada perwujudan terowong di antara Mesir dan Palestin.

Difahamkan, lebih 1,000 laluan rahsia yang digunakan oleh penduduk Palestin untuk membawa pelbagai bekalan termasuk bahan api dan makanan.  Jika wujudnya terowong rasmi mengikut pelan Perjanjin Abad ini maka segala akan dihapus dan dikambus dan akan mudah dikawal oleh pihak berkuasa Israel ke atas Gaza.

Kekadang saya juga terfikir dengan kawalan ketat pihak berkuasa Mesir di sempadan Refah dengan Gaza, bagaimanakah Perdana Menteri Palestin di Gaza, Ismail Haniyeh datang ke Malaysia baru-baru ini. Adakah mendapat kebenaran pihak berkuasa Mesir, takutkan akan dibom pihak Israel atau melalui terowong jugakah?

Dari segi ekonomi, tujuan Perjanjian Abad Ini ialah kononnya hendak membantu mengukuhkan ekonomi Palestin tetapi jika semua capaian keluar-masuk barangan dan perkhidmatan dikuasai pihak Israel, bagaimana ekonomi Palestin hendak berkembang. Palestin pun tiada mata wang, dalam proses urus niaga harus menggunakan mata wang Israel iaitu Shekel (ILS) bagaimana  ekonomi Gaza dan Tebing Barat hendak membangun dan berkembang. Adakah Palestin akan mempunyai mata wang sendiri dan adakah ini akan dibiarkan oleh Israel.

Dalam pelan damai ini bantuan AS50 bilion dicadangkan untuk membangun Palesti. Ia bukannya dari saku AS tetapi dari rakan sekutunya di Eropah, Arab Saudi, UAE dan beberapa negara Arab yang lain. Sejauh manakah ia dapat membantu Palesti? Bayangkan Arab Saudi sekarang berhadapan dengan bebanan kewangan kerana banyak wang telah digunakan dalam perang di Yaman.

Terdapat beberapa syarat keras yang dikenakan kepada Palestin untuk menjelma sebagai sebuah kerajaan apatah lagi negara. Ia seolah-olah sekadar symbol atau kata-kata manis.  Bayangkan mereka harus menerima 15% kawasan sejarah mereka setelah dirampas kawasan pertanian, sumber air, tentunya memperluaskan lagi wilayah Israel dengan menguasai kawasan penempatan yang haram menjadi halal.

Di samping itu Palestin tidak diberikan hak mempunyai pasukan tentera, di mana sempadannya, keselamatan, kawasan perairan dan udara dikuasai mereka dan segala persetujuan itu harus diterima dalam jangkamasa empat tahun, jika tidak segalanya hilang dan pihak Israel akan terus bertindak merampas lebih banyak tanah di Palestin dan melakukannya dengan sesuka hati. Ini merupakan suatu ugutan!

Banyak lagi syarat untuk diiktiraf sebagai berkerajaan sendiri, termasuk kumpulan-kumpulan pejuang Palestin harus meletak senjata, Hamas harus dirungkaikan; semua bantuan kewangan yang diberikan kepada ahli keluarga banduan politik oleh Pihak Berkuasa Palestin harus dihentikan dan Palestin menjadi sebuah kerajaan yang ditadbir oleh Israel.

Ini merupakan sebahagian daripada rincian Perjanjian Abad Ini. Perjanjian ini tidak lain daripada ingin menghancurkan Palestin dari dalam dan memadamkan Palestin dari peta dunia. Adakah ini nama pelan damai? Ini adalah Perjanjian Menghancurkan Palestin Abad Ini!

*Kolumnis adalah pensyarah di Jabatan Komunikasi, Fakulti Komunikasi, Seni Visual dan Pengkomputeran, Universiti Selangor dan Felo Institut MASA.