The Guardian lapor USD4 bilion hilang dari syarikat milik k’jaan Malaysia

The Guardian lapor USD4 bilion hilang dari syarikat milik k’jaan Malaysia

Pendakwa raya Switzerland dilaporkan meminta pihak berkuasa Malaysia membantu menyiasat kehilangan USD4 bilion dari sebuah syarikat milik kerajaan di tengah-tengah kegawatan ‘skandal rasuah’ yang dikaitkan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Penyiasat percaya dana yang diperuntukkan bagi projek-projek pembangunan ekonomi dan sosial itu mungkin ‘telah dicuri’.

Pejabat peguam negara Switzerland dalam satu kenyataan pada Jumaat berkata, ‘sebahagian kecil’ daripada wang tunai yang dipindahkan ke dalam akaun Swiss dipegang oleh bekas pegawai-pegawai Malaysia serta pegawai-pegawai Emiriah Arab Bersatu (UAE).

“Setakat ini, bagaimanapun syarikat-syarikat Malaysia yang terlibat tidak membuat sebarang komen mengenai kerugian yang mereka dipercayai telah dilakukan,” kata pendakwa raya Swiss seperti dilapor The Guardian.

“Objektif permintaan bagi bantuan bersama itu adalah untuk menasihati syarikat-syarikat dan kerajaan Malaysia bagi keputusan prosiding jenayah Swiss, dengan tujuan untuk mengetahui sama ada kerugian pada skala ini dikekalkan,” menurut kenyataan itu lagi.

Pada bulan September, pihak berkuasa mengumumkan pembekuan ‘berpuluh-puluh juta dolar’ nilai aset yang disimpan dalam akaun Swiss sebagai sebahagian daripada proses penyiasatan.

Pejabat peguam negara Swiss berkata permintaan bantuan itu dibuat sebagai sebahagian daripada prosiding jenayah yang dibuka Ogos lalu terhadap dua bekas pegawai dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan “beberapa orang yang tidak dikenali”.

Mereka disyaki memberi rasuah kepada pegawai asing, salah laku di pejabat awam, pengubahan wang haram dan salah urus jenayah, kenyataan media itu dipetik.

Manakala Wall Street Journal pula melaporkan pada bulan September lalu pihak berkuasa Swiss mengumumkan nilai aset “berpuluh-puluh juta dolar Amerika” yang berada dalam akaun Swiss sebagai sebahagian daripada siasatan.

WSJ melaporkan Perdana Menteri menolak dakwaan menggelapkan dana 1MDB, walaupun selepas bukti baru dilaporkan sebanyak USD1 bilion dimasukkan dalam akaun peribadinya.

Najib telah menjadi subjek kontroversi sejak Julai tahun lalu apabila WSJ dan siasatan oleh Sarawak Report mendedahkan dokumen yang mengesan transaksi hampir USD700 juta daripada lejar 1MDB ke dalam akaun bank peribadi Najib.

Pada Isnin, WSJ melaporkan penyiasat antirasuah percaya jumlah wang dalam akaun Najib sebenarnya lebih tinggi daripada yang dinyatakan pada mulanya – berjumlah lebih daripada USD1 bilion.

Bagaimanapun pejabat Najib mengeluarkan kenyataan mengutuk WSJ sebagai “jentera untuk untuk merosakkan Perdana Menteri dan Malaysia untuk kepentingan peribadi” tetapi tidak mengulas secara langsung mengenai kewangan tersebut.

Tuduhan yang kurang menyenangkan itu datang selepas sebulan Tan Sri Apandi Ali mengumumkan bahawa Pejabat Peguam Negara akan mengambil semua langkah yang mungkin untuk membuat susulan dan bekerjasama dengan rakan sejawatannya dari Switzerland, tetapi menyatakan bahawa siasatan terhadap derma yang dibuat kepada Najib adalah sepenuhnya berasingan daripada kes 1MDB.

Pada minggu akhir Januari lalu, Apandi telah membersihkan Najib daripada segala dakwaan rasuah apabila mendedahkan bahawa RM2.6 bilion yang dimasukkan ke akaun peribadi beliau adalah ‘derma’ keluarga diraja Saudi.

Najib jelas Apandi telah memulangkan sebahagian wang tersebut kerana tidak digunakan.

“Jika Perdana Menteri mempertikaikan dakwaan WSJ, beliau perlu mengambil tindakan undang-undang terhadap WSJ bagi membersihkan namanya. Setakat ini Najib telah tidak mengeluarkan sebarang kenyataan mengenai dakwaan ini.

“Ini adalah mengejutkan, mengekalkan berdiam diri tidak membantu meningkatkan imej tercemar atau populariti,” e-mel seorang pembaca kepada Time yang dipetik WSJ.

TAGS