Penyanyi antarabangsa The Weeknd atau atau nama sebenarnya Abel Tesfaye sekali lagi mengejutkan dunia apabila menyalurkan derma sebesar RM9.5 juta untuk tujuan kemanusiaan di Gaza.
Pada Disember tahun lalu, bintang kelahiran Kanada itu turut dilaporkan menyalur derma sebanyak RM11.7 juta daripada organisasi miliknya, XO Humanitarian Fund buat keluarga di Gaza.
Derma kali ini difahamkan sebagai menyokong Program Makanan Dunia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (WFP) yang akan menyediakan 1,500 tan metrik tepung gandum sebagai sumber makanan kepada lebih 157,000 rakyat Palestin.
Menurut laman Instagram Muslim yang berpangkalan di luar negara, dana disumbangkan The Weeknd dijangka mampu menyediakan 18 juta keping roti untuk membantu keluarga di Gaza.
Menurut Pengarah WFP Timur Tengah, Afrika Utara dan Rantau Eropah Timur, Corinne Fleischer, beliau mengakui bantuan itu sangat diperlukan di Gaza.
Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Program Makanan Dunia Amerika Syarikat, Barron Segar berkata, sumbangan yang telah diberikan The Weeknd telah meringankan sedikit beban keluarga di Gaza.
“Dengan krisis kebuluran yang melanda di Gaza, sumbangan Abel akan meringankan beban beribu keluarga Palestin yang bergelut dengan isu kelaparan setiap hari.
“Kami amat berterima kasih atas sumbangan beliau dan atas sokongan beliau yang tidak berbelah bahagi untuk WFP dan rakyat Palestin.
“Kelaparan adalah masalah buatan manusia, dan oleh itu, ia boleh diselesaikan. Kita mempunyai makanan yang cukup di dunia ini untuk memberi makan kepada semua orang; apa yang kita perlukan ialah pembiayaan dan akses selamat untuk merealisasikannya.
“Berkat sumbangan Abel, keluarga dan anak-anak akan menerima makanan yang mereka sangat perlukan,” kata kenyataan itu.