Malaysia Dateline

Tiada ‘Abang Long’ dalam Pakatan Harapan

Ketua Pemuda Pakatan Harapan, Nik Nazmi Nik Ahmad mengingatkan tiada mana-mana pihak sama ada dalam Bersatu, AMANAH, PKR atau DAP yang mendominasi blok pembangkang itu.

Berucap dalam Konvensyen Pemuda Pakatan Harapan di Subang, Selangor, malam tadi, beliau berkata, usaha untuk memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) hanya dapat dicapai jika kesemua anggota gabungan itu saling bekerjasama.

“Kita harus mencurahkan segala usaha untuk memenangi PRU-14. Ini hanya menjadi realiti jika kita berdiri bersama-sama.

“Kita mesti menjadi jambatan antara parti kita, abang dan kakak kita dengan rakyat Malaysia. Kita tidak mempunyai Abang Long seperti Barisan Nasional,” tegas Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) itu.

Mengakui wujud cabaran dalam proses kerjasama antara Pakatan Harapan lantaran kepelbagaian fahaman, beliau berkata, Malaysia sebenarnya memerlukan hala tuju yang baharu.

“Malaysia tidak mampu menangung lagi Najib Razak, Umno-BN. Kita tidak mampu Malaysia menjadi jenaka dunia yang menjual kepentingan negara demi survival politik mereka.

“Kita tahu kita memerlukan kerajaan yang komited dalam agenda perubahan,” ujarnya di hadapan kira-kira 400 perwakilan.

Menurut Exco Kerajaan Negeri Selangor berkenaan, pengundi terutama golongan muda mahu melihat kesepakatan yang kukuh dalam Pakatan Harapan bagi menjatuhkan rejim kleptokrat Umno-BN.

“Kita tidak boleh mengambil mudah pengundi terutama anak muda. Mereka akan berfikir dengan berhati-hati sebelum mereka mengundi.

“Kita wajib bekerja keras supaya mereka menyokong kita, memenangi hati mereka yang kecewa dan mereka yang di atas pagar. Ada yang hampa dan merasakan tidak memenuhi idealisme mereka,” katanya.

Pas bermasalah

Sehubungan itu, beliau mengulangi peringatan bahawa perpecahan hanya akan menyebabkan sokongan pengundi kepada Pakatan Harapan dibimbangi terjejas.

“Kita harus akur perpecahan akan mengundang kekalahan kepada kita. Saya ulangi, kita akan kalah dalam pilihan raya akan datang jika pengundi merasakan kita lebih peduli tentang politik dalaman dan bukan menewaskan Umno-BN.

“Realitinya mudah, jika kita memberikan rakyat Malaysia sedikit sebab pun untuk tidak mengundi kita, mereka tidak akan mengundi kita.

“Hujah kita mesti mantap dan tidak boleh disangkal. Kita tidak boleh buat begini jika kita tidak bersatu,” jelasnya.

Turut disentuh tentang pendirian terhadap Pas yang pada masa ini menyaksikan pemimpinnya terang-terang bermusuh dengan Pakatan Harapan walaupun melaungkan agenda budaya politik matang dan sejahtera.

“Saya menghormati sumbangan dan perjuangan anda (Pas) tetapi sekiranya anda bukan sebahagian daripada penyelesaian, anda sebahagian daripada masalah,” tegas Nik Nazmi lagi.