Tiada Adun PKR akan lompat parti, kata Rafizi

Tiada Adun PKR akan lompat parti, kata Rafizi

Rafizi Ramli menganggap dakwaan lapan Adun PKR akan menyertai Umno sebagai cerita rekaan semata-mata.

Naib Presiden PKR Rafizi Ramli menafikan dakwaan terdapat lapan Adun PKR akan melompat parti menyertai Umno bersama bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Muhammad Muhammad Taib.

Beliau berkata, dakwaan itu hanya rekaan semata-mata yang dibuat pihak tertentu.

“Berita itu tidak betul. Saya pun tidak pernah dengar. Tidak ada langsung desas-desus. Kita sekarang sedang sibuk membuat persediaan menghadapi PRU14.

“Saya rasa, cerita itu sengaja direka untuk mengurangkan rasa malu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak (atas pengumuman Muhammad yang menyertai Umno),” katanya seperti dipetik Sinar Harian.

Ahad lalu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menagdakan sidang media khas untuk mengumumkan penyertaan Muhammad kembali kepada Umno.

Semalam,  The Malaysian Insight mendakwa pengumuman Muhammad kelmarin sepatutnya disertai lapan lagi Adun Selangor dan seterusnya menyebabkan kerajaan baru dibentuk, namun ia tidak terlaksana.

Laporan yang memetik sumber itu berkata, ia akan dibentuk dengan komposisi 34 Adun, iaitu 12 dari Umno, 13 Pas, lapan PKR yang didakwa akan berpaling tadah serta bekas Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim.

Ia dikatakan bakal mengulang episod tumbangnya kerajaan Pakatan Rakyat Perak, selepas wakil rakyatnya keluar parti dan menyokong BN.

Dalam pada itu, Rafizi menghormati keputusan Muhammad meninggalkan PKR dan menyifatkan ketiadaan beliau untuk bersama Umno tidak menjejaskan PKR.

“Cuma saya terkilan kerana kami banyak meluangkan masa turun ke kampung-kampung bersama (berkempen). Saya tahu jiwa beliau rapat dengan orang kampung.

“Beliau rasa, Umno adalah platform terbaik untuk membela orang Melayu dan penduduk kampung. Saya hormati pandangan beliau. Pendekatan PKR dalam membela orang Melayu berbeza dengan yang dibawa Umno,” katanya.

CATEGORIES
TAGS