Malaysia Dateline

‘Tiada ahli politik bersungguh mahu reformasi dasar perhutanan negara’

Selepas lebih setahun Pakatan Harapan (PH) menerajui kerajaan di peringkat Persekutuan, badan bukan kerajaan (NGO) berpendapat masih tidak ada ahli politik yang bersungguh untuk memperjuangkan kelestarian alam sekitar.

Pengerusi Persatuan Aktivis Sahabat Alam Malaysia (KUASA) Perak, Mohamad Hafizudin Mohd Nasarudin berkata, sukar untuk melihat komitmen pemimpin PH melakukan perubahan dasar bagi mengelak lebih banyak kemusnahan alam semulajadi.

Menurutnya, banyak dasar lama semasa kerajaan BN yang tidak menjamin pemeliharaan alam semula jadi masih diteruskan oleh kerajaan PH.

Hafizudin Nasarudin

“Secara umumnya, kami masih tidak berpuas hati. Lebih-lebih lagi tentang pembalakan. Tidak nampak lagi usaha untuk melakukan reformasi.

“Pada masa sama, banyak juga projek berskala besar masih diteruskan. Tidak nampak banyak beza lagi antara BN dan PH,” luahnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Malaysia Dateline selepas program Latihan Aktivis Alam Sekitar (LASAK 6.0) anjuran KUASA di Sungai Merbok, Kedah semalam.

Walau bagaimanapun, Hafiz yang juga wakil Malaysia untuk forum pemimpin komuniti alam sekitar Asia Tenggara, Innovation for Change mengakui masih ada beberapa pemimpin yang mendengar suara mereka melalui beberapa pertemuan.

“Tapi apa yang kita minta, belum nampak lagi dilaksanakan. Isu paling mendesak sekali adalah perhutanan.

“Dasar perhutanan negara telah diwarisi lebih 60 tahun tetapi tidak ada seorang pun pemimpin kerajaan menyebut tentang usaha untuk melakukan reformasi berkaitan tentang perhutanan.

“Mereka ini termasuklah pemimpin di peringkat kerajaan negeri melainkan Melaka. Sebelum ini, Ketua Menteri (Adly Zahari) ada kata mahu menghentikan pembalakan.

“Selain beliau, kalau di Perak, Tan Kar Hing (Adun Simpang Pulai merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan) untuk reform (dasar perhutanan) tetapi beliau pegang portfolio yang tidak berkaitan hutan pula,” kata Hafiz lagi.

Untuk rekod, Adly selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri di Seri Negeri, Ayer Keroh pada 12 Disember tahun lalu berkata, kerajaan negeri tidak akan meneruskan aktiviti pembalakan bagi memastikan kelestarian flora dan fauna terus terpelihara.

Hafiz (kanan) bersama antara peserta pembentangan isu alam sekitar.

 

Peserta sedang mengikuti penerangan berkaitan biodiversiti daripada pensyarah Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Nurul Salmi Abdul Latip.