Malaysia Dateline

Tiada alasan Kerajaan PN tolak tuntutan kerusi Parlimen dari Sarawak, Sabah

Memandang Gabungan Parti Sarawak (GPS) kini berada dalam Kerajaan Persekutuan bersama Perikatan Nasional, adalah wajar kerajaan menimbangkan tuntutan Sarawak dan Sabah untuk diperuntukkan kerusi satu pertiga di Parlimen.

Pengerusi Parti AMANAH Negara Negeri Sarawak, Abang Abdul Halil Abang Naili berkata, meneliti kenyataan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkenaan tuntutan satu pertiga kerusi Parlimen kepada Kerajaan Persekutuan ia adalah dan wajar dan perlu diberikan merit untuk diperhalusi dan dipertimbangkan oleh Kerajaan PN.

Abang Abdul Halil Abang Naili

Jelas beliau, perkara berkenaan seharusnya menjadi antara agenda utama dalam memastikan suara Sabah dan Sarawak diberi perhatian yang lebih serius daripada Kerajaan Persekutuan di bawah PN.

“Kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini komited dalam mengangkat martabat Sabah dan Sarawak daripada status negeri kepada wilayah, namun gagal dalam undian di Parlimen semasa era Kerajaan PH yang sepatutnya akan membuka jalan yang lebih mudah bagi mendapatkan hak peruntukan satu pertiga kerusi parlimen untuk Sabah dan Sarawak.

“Adalah diharapkan dengan adanya suara satu pertiga dari Sabah dan Sarawak ini kelak, tiada lagi alasan dapat dibuat oleh Kerajaan Persekutuan untuk mengabaikan Sabah dan Sarawak yang sekian lama masih berhadapan masalah keperluan asas seperti bekalan air bersih, sekolah-sekolah dan kampung-kampung yang belum menerima sambungan elektrik, jalan raya sempurna dan sebagainya,” kata beliau.

Beliau berkata demikian, ketika diminta mengulas tuntutan yang disuarakan oleh Ketua Menteri Sarawak berkaitan kerusi Parlimen untuk Sabah dan Sarawak.

Sebelum ini, GPS mahu kerusi untuk Sarawak dan Sabah ditambah menjadikannya lebih satu pertiga bilangan dalam Dewan Rakyat.

Abang Johari dipetik sebagai berkata, pada masa ini Sabah dan Sarawak diberi kurang daripada satu pertiga di Dewan Rakyat.

“Kita mahu Sarawak dan Sabah harus diwakili lebih daripada satu pertiga dalam parlimen.

“Jika kerajaan persekutuan mahu meminda Perlembagaan mereka juga mesti mendapat sokongan dari Sabah dan Sarawak,” ujarnya.

Tambah beliau, ia merupakan antara yang dicadangkan Sarawak kepada Jawatankuasa Reformasi Pilihan Raya (ERC).

Kata Abang Johari, apabila Sabah dan Sarawak mempunyai satu pertiga daripada kerusi Parlimen, doktrin persekutuan akan benar-benar berfungsi.

“Jika mereka meminda Perlembagaan, ia hanya memberi kesan kepada Semenanjung Malaysia, yang secara demokratiknya tidak betul.

“Sabah dan Sarawak mesti mempunyai lebih daripada satu pertiga,” tegasnya.