Malaysia Dateline

Tiada bahan bahaya dalam ‘Ghost Smoke’

Hasil kajian awal mendapati tiada bahan berbahaya dalam kandungan gula-gula Ghost Smoke yang dijual di pasaran, kata Timbalan Menteri Kesihatan Dr Lee Boon Chye.

Beliau berkata walaupun tiada kandungan berbahaya, namun pengambilan produk itu dalam kalangan kanak-kanak tidak digalakkan kerana boleh mempengaruhi mereka menjadi perokok.

“Kita juga masih mengkaji mekanisme bagaimana gula-gula ‘Ghost Smoke’ boleh mengeluarkan asap dan kita ada menghantar sampel kepada beberapa universiti untuk kajian tersebut dan setakat ini masih belum ada keputusan,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan kepada 200 warga emas dan golongan miskin di Taman Song Choon di Ipoh hari ini.

Selain itu, Dr Lee yang juga Ahli Parlimen Gopeng berkata, Kementerian Kesihatan bekerjasama dengan pihak industri bagi menyekat penjualan peranti rokok elektronik atau vape berbentuk jam tangan atau pen di pasaran yang semakin menular dalam kalangan pelajar sekolah di negara ini.

Beliau berkata pihaknya telah mengadakan sesi perbincangan dengan pengeluar vape yang bersetuju menarik balik penjualan peranti berbentuk jam tangan atau pen di pasaran.

“Ibu bapa dan guru juga perlu memberi perhatian serius sekiranya terdapat pelajar yang menggunakan jam tangan atau pen dalam bentuk mencurigakan kerana penggunaan vape boleh memudaratkan kesihatan pelajar serta menyebabkan ketagihan kepada mereka,” katanya.

— BERNAMA