Malaysia Dateline

Tiada Bazar Ramadan, Aidilfitri di Kelantan tahun ini

Bazar Ramadan dan Aidilfitri di seluruh Kelantan tahun ini dibatalkan susulan lonjakan kes Covid-19 di negeri pantai timur itu.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Negeri Dr Izani Husin memaklumkan hal tersebut menerusi Facebook hari ini.

Beliau juga memberitahu Madinah Ramadan juga ditukar menjadi Pusat Rawatan dan Kuarantin Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) sebagai ikhtiar membendung penularan wabak berkenaan.

“Bazar Ramadan, Bazar Aidilfitri seluruh Kelantan dibatalkan. Madinah Ramadan ditukar menjadi Pusat Rawatan dan Kuarantin Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC).

“Ikhtiar demi membendung penularan Covid-19,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijang berkenaan.

Semalam, Covid-19 di Kelantan mencatat 171 kes baharu dan berada di kedudukan ketiga tertinggi selepas Sarawak dan Selangor.

Kelantan juga mencatatkan sebanyak 21 kluster aktif setakat semalam dengan terdapat pertambahan 10 kes positif dalam kluster sedia ada.

Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan memaklumkan empat kes daripadanya direkodkan di Kluster Jalan Kota Kubang Labu dan tiga kes di Kluster Kampung Palekbang.

Satu kes pula masing-masing muncul di Kluster Patek, Kluster Kampung Paloh Rambai dan Kluster Tembok Pengkalan Chepa.

Semalam, satu lagi kluster baharu dicatatkan di Kelantan iaitu Kluster Bandar Baru Kubang Kerian dengan 14 kes baharu membabitkan tempat kerja di daerah Tumpat, Bachok, dan Kota Bharu.