Malaysia Dateline

Bazar Ramadan - Gambar hiasan

Tiada Bazar Ramadan di Pulau Pinang tahun ini

Mesyuarat Jawatankuasa Khas Keselamatan Negeri (JKKN) Pulau Pinang mengumumkan bazar Ramadan bagi seluruh negeri ini dibatalkan bagi mengekang penularan wabak Covid 19.

Menurut Pengerusi JKKN, Chow Kon Yeow, pembatalan ini adalah sebagai salah satu tindakan bagi menyekat penularan wabak Covid 19 yang sedang melanda negara ketika ini.

Beliau yang juga merupakan Ketua Menteri Pulau Pinang turut berkata, semua perkhidmatan bas percuma CAT kerajaan negeri turut dihentikan mulai 4 April 2020.

Namun begitu katanya, bagi laluan BEST FIZ, hanya laluan A dan C sahaja akan tetap beroperasi dengan sebuah bas bagi setiap laluan.

“Sementara itu, JKKN juga mengumumkan bahawa premis yang menjual makanan haiwan, ubat-ubatan, alat tukar ganti, input pertanian seperti baja dan racun hanya dibenarkan beroperasi pada hari Isnin dan Khamis sahaja mulai 6 April 2020 antara jam 8 pagi hingga 2 petang.

“Dalam kemelut Covid 19 kini seorang usahawan negeri ini telah mengambil inisiatif dengan menawarkan hotel milik beliau sebagai penginapan untuk para petugas hospital dan Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang bagi tempoh Perintah Kawalan Pergerakan.

“Adalah menjadi harapan agar ada pihak swasta yang lain akan turut bersama-sama menawarkan penginapan kepada mereka yang perlu dikuarantin termasuklah mereka yang baru tiba dari luar negara,” tambah beliau lagi.