Tiada bonus raya Felda, kerajaan buat keputusan tepat kata Wan Shahrir

Tiada bonus raya Felda, kerajaan buat keputusan tepat kata Wan Shahrir

Pengerusi Taskforce Felda Bersatu, Wan Mohd Shahrir Wan Abdul Jalil berpendapat kerajaan melakukan keputusan tepat terhadap pengumuman untuk mendahulukan pembayaran pinjaman sara hidup dan pendahuluan hasil kepada peneroka Felda berbanding pemberian imbuhan Aidilfitri.

Katanya, beliau memahami hasrat kerajaan yang ingin memberi bonus kepada peneroka namun terkekang dengan keadaan kewangan dan berharap rakyat felda untuk turut memahami keterbatasan itu.

“Isu peneroka tak dapat bonus ini bukan lah dianggap sebagai wajar, dan tidak juga dilabel sebagai tidak wajar. Tapi kita kena faham kedudukan kewangan Felda itu sendiri.

“Saya tahu jawapan kerajaan tidak popular. Kita faham hasrat hati kerajaan yang nak beri bonus, tetapi kita baru sahaja bermula semula untuk membangunkan Felda.

“Tambah pula kerajaan sudah menyelesaikan kertas putih baru-baru ini yang menelan jumlah sebanyak RM6.3 bilion. Maknanya buat masa sekarang, diharap warga peneroka felda bersabar dahulu, kita kena ‘suffer’ sebelum mendapat hasil,” katanya kepada Malaysia Dateline.

Tambah beliau lagi, kerajaan hari ini tidak boleh sewenang-wenangnya mengambil duit dari agensi lain seperti KWAP semata-mata untuk memberi bonus kepada warga felda sedangkan umum tahu keadaan kewangan negara sedang berada dalam keadaan yang kurang memberangsangkan.

Katanya, kerajaan tidak akan sesekali melanggar undang-undang dengan mengambil duit dari badan lain dan dibayar ke peneroka.

“Secara ringkasnya, bonus ini apabila kerajaan memperoleh keuntungan yang lebih maka mereka boleh memberikan bonus kepada pekerja. Tapi jika kita ambil atau pinjam dari luar, bonus itu bukan dikira sebagai hasil kita.

“Memang sebelum ini kita tahu warga felda diberi bonus, tapi kita juga perlu tahu dari mana duit itu datang. Kalau kita nak popular, kita boleh buat beri terus kepada mereka.

Tetapi kita tak boleh buat begitu kerana dianggap tidak mengikut lunas-lunas perniagaan yang sebenarnya,”ujarnya.

Baru-baru ini, Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, berkata tiada bonus atau imbuhan sempena Aidilfitri tahun ini kepada peneroka-peneroka Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda).

Sebaliknya, kerajaan dalam usaha memastikan pembayaran pinjaman sara hidup dan pendahuluan hasil disalurkan sebelum Aidilfitri.

Beliau percaya peneroka-peneroka Felda sedia maklum berhubung kedudukan kewangan negara yang menjadi kekakangan kepada kerajaan.