Tiada catuan, bekalan air di Melaka tidak terjejas

Tiada catuan, bekalan air di Melaka tidak terjejas

Rakyat Melaka tidak harus bimbang kerana setakat ini tiada catuan air dijadualkan kerana bekalan yang diperolehi masih seperti biasa, kata Exco Kerjaraya, Pengangkutan dan Kemudahan Awam negeri, Datuk Mohd Sofi Abdul Wahab.

Menurutnya, semua paras air di ketiga-tiga empangan utama iaitu Durian Tunggal, Jus dan Asahan adalah di paras biasa walaupun berlaku kemerosotan berbanding pada musim tengkujuh.

“Sehingga ke hari ini bekalan air di negeri Melaka tidak terjejas dan masih terkawal.

“Walaupun musim kemarau telah melanda lebih sebulan, kita bersyukur kepada Allah kerana bekalan air kekal mencukupi dan tidak terjejas,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Sofi Abdul Wahab

Jelasnya, pemantauan terhadap paras air di dilakukan setiap hari dan bacaan tersebut dimaklumkan kepada kerajaan negeri setiap hari.

“Pada masa yang sama pihak Badan Kawal Selia Air (BKSA) yang menguruskan sumber air mentah ini juga mempunyai sumber air dari sungai-sungai berdekatan untuk airnya dipam ke empangan.

“Selain itu, kita juga boleh mendapatkan air dari negeri jiran Johor jika kita kekurangan bekalan,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Durian Tunggal tersebut.

Sehubungan itu, Sofi berharap rakyat mengamalkan sikap berhemah dan tidak membazirkan penggunaan air memandangkan setiap hari kira-kira satu peratus dari air empangan digunakan oleh pengguna.

“Untuk itu mari kita sama-sama berdoa agar Allah menurunkan hujan khususnya di kawasan empangan bagi menambahkan lagi paras air di kawasan tersebut.

“Rakyat juga mesti peka terhadap kejadian pembaziran akibat paip bocor. Sila laporkan kepada pihak berwajib bagi membaiki paip bocor secepat mungkin.

“Kepekaan kita semua dapat menyelamatkan air dari terbazir dan tidak mencukupi,” tambahnya lagi.

 

Laporan Paras Air Empangan Di Empangan Durian Tunggal, Empangan Jus Dan Empangan Asahan hari ini:

Empangan Durian Tunggal
63.7%
(26.11 m)
Kapasiti: 19670 ml (juta liter)
Hujan: Nil

Empangan Jus
85.4%
(71.74 m)
Kapasiti: 36905 ml (juta liter)
Hujan: Nil

Empangan Asahan
78.3%
(70.00 m)
Kapasiti: 265 ml (juta liter)
Hujan : Nil