Malaysia Dateline

Tiada dalam Perlembagaan DAP perjuangkan Cina

Terpanggil untuk mengulas kenyataan salah seorang anggota Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) Saudara Ronnie Liew beberapa hari lalu.

Ronnie dilaporkan berkata ““DAP adalah parti pelbagai kaum. Parti ini tidak perlu mencairkan kecinaannya hanya kerana kritikan daripada musuh politik kita.”

Ronnie amat benar apabila mengatakan DAP adalah parti pelbagai kaum kerana itulah hakikat sebenar DAP. Malangnya Ronnie gagal untuk mempertahankan kenyataan awalnya apabila menyatakan bahawa DAP tidak perlu mencairkan kecinaannya.

Nampaknya, Ronnie keliru dengan diri sendiri. Mungkin kemelut politik negara sekarang ditambah dengan pandemik Covid-19 yang tidak nampak kesudahan menyebabkan Ronnie keliru sehingga berucap sedemikian.

Ronnie bukan orang baru di dalam DAP dan politik. Justeru semestinya Ronnie sendiri faham dan fasih tentang Perlembagaan parti.

Fasal III Perlembagaan DAP mengangkat DAP sebagai sebuah parti demokrasi yang memperjuangkan setiap warga Malaysia mengikut ruang lingkup Perlembagaan Persekutuan. Matlamat perjuangan DAP digariskan satu persatu di dalam Fasal III ini.

Tidak ada satu perkataan, ayat atau fasal di dalam Perlembagaan DAP yang meletakkan perjuangan untuk satu-satu kaum khususnya cina.

Perjuangan DAP untuk semua warga Malaysia samada di Semenanjung mahu pun Sabah dan Sarawak. Matlamat DAP menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara demokrasi yang majmuk adil untuk semua.

Penubuhan dan perjuangan DAP adalah untuk menyatu-padukan rakyat Malaysia daripada dipisahkan sentimen kaum, agama dan bangsa yang ditinggalkan penjajah selepas Merdeka.
Penjajah memisahkan kaum, bangsa dan agama atas kepentingan mereka, DAP ditubuhkan atas garis Perlembagaan Persekutuan untuk menyatukan rakyat.

DAP adalah parti rakyat Malaysia. DAP adalah parti masa depan Malaysia. DAP adalah parti Malaysia.

Ini bukan perkara baru. Sejak penubuhannya 55 tahun lalu, DAP memperjuangkan semua kaum, agama dan bangsa.

Sejarah tidak pernah menipu walau pun cuba digelapkan dan diberikan naratif negatif. Sejarah memperlihatkan bagaimana pimpinan DAP ditahan, dipenjara kerana perjuangkan hak rakyat.

Setiausaha Agung DAP, Saudara Lim Guan Eng contohnya dipenjara kerana memperjuangkan nasib seorang gadis melayu yang dirogol.

Dalam era sekarang yang sudah jauh beza sejak mula negara Merdeka, politik perkauman dan berteraskan perkauman perlu dielakkan. Ronnie seharusnya sedar dan peka dengan situasi ini. Seharusnya diperkukuh dan dipertahan prinsip perjuangan majmuk DAP bukan sebaliknya.

DAP Kedah mempunyai 2 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang cukup dikenali dan mesra kepada semua.

Adun Derga, YB Tan Kok Yew dan Adun Kota Darul Aman YB Teh Swee Leong masing-masing dikenali sebagai Adun untuk semua bukan hanya untuk cina.

Khidmat mereka di Kedah khususnya di Dun yang mereka wakili bukan hanya untuk kaum cina tetapi untuk semua. Apa sahaja masalah berbangkit dalam masyarakat akan disantuni dan diselesaikan mengikut kemampuan yang ada.

DAP Kedah tidak hanya dianggotai kaum cina malah kami DAP Kedah dianggotai dan ditunjangi semua bangsa Melayu, Cina dan India.

DAP Kedah tidak akan terjerat dalam jerat musuh yang mahu membina persepsi negatif terhadap DAP untuk melemahkan DAP.

Musuh politik DAP hanya mahu melihat DAP kecundang. Mereka tidak berdaya melawan dengan khidmat tetapi hanya dengan tipu daya dan tohmah jahat.

Kami akan terus berjuang dan berkhidmat untuk semua warga Kedah dan Malaysia sesuai dengan lirik lagu rasmi DAP.

“DAP… DAP… berjuang untuk rakyat Malaysia..”

“Bersama kita menuju.. Satu matlamat
Malaysia untuk rakyat… Malaysia…”

*ZULHAZMI SHARIFF merupakan Naib Pengerusi DAP Kedah.