Malaysia Dateline

Tiada dalil haramkan anjur majlis di rumah ibadat bukan Islam, kata Yadim

Masih tiada petunjuk dalil muktamad yang mengharamkan penganjuran majlis di rumah ibadat bukan Islam yang kini telah mencetuskan penzahiran pandangan ekstrem sebahagian daripada umat Islam di negara ini.

Nyata, perkara tersebut telah dijelaskan oleh panel penyelidik Nadwah Ulama dan Ilmuan Islam, Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (NUIM – YADIM), yang memaklumkan bahawa pandangan Imam dan Ulama daripada 4 mazhab terkenal masih berbeza kerana sebahagiannya mengharuskan perbuatan tersebut dengan meletakkan beberapa syarat.

Yang Di-Pertua Yadim, Nik Omar Nik Abdul Aziz, berkata, hal ini pastinya antara lain bertitik tolak daripada perbuatan dua sahabat besar Nabi Muhammad SAW yang turut menjadi Khalifah Umat Islam pada zaman mereka iaitu Saidina Umar Al-Khatab dan Saidina Ali RA.

“Sekali lagi ditekankan, sekiranya hujah-hujah ulama baik di zaman silam mahupun kini serta amalan majoriti umat Islam sedunia mahu di ingkari oleh pihak ini, ia tidak harus dizahirkan dalam nada permusuhan dan kebencian yangmenghilangkan imej rahmah kepada Islam.

“Bukankah lebih baik diberikan pandangan tentang tatacara bersesuaian yang boleh dilakukan berbanding mengambil langkah permusuhan yang sebenarnya boleh ditebak tujuannya.

“Sememangnya mengambil langkah permusuhan ini mudah dan mungkin populis dalam kelompok yang terhad. Namun apakah keuntungannya kepada Islam dan negara ini? ,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Yadim dalam pendekatan menggalakkan persaingan kearah kebaikan (Fastabiqul Khairat) dalam menonjolkan Islam sebagai Rahmatan Lil Alamin, juga menyeru kepada rakyat Malaysia agar kembali menghayati pengajaran Ramadhan yang hampir ditinggalkan ini.

Jelasnya, golongan bukan Islam kini mungkin sudah terdorong menjemput pemimpin Umat Islam untuk berbuka puasa di kawasan rumah ibadah mereka, kerana mereka sudah melihat imej Rahmah yang sedang ditonjolkan oleh pemimpin sekarang yang lebih jelas dan tulus berbanding sebelum ini.

Justeru, beliau mempersoalkan kewajaran sikap lunak tersebut dibalas dengan maki cerca dan syak wasangka oleh segelintir umat Islam sekalipun mereka tidak bersetuju.