Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) mengulangi pendirian menolak cadangan kerajaan untuk mengembalikan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).
Naib Presidennya, Radin Muhd Imaduddin berkata, perkara paling penting untuk ditangani adalah aspek pedagogi atau kaedah pengajaran di sekolah.
Menurutnya, pelaksanaan PPSMI yang telah dimansuhkan sepenuhnya pada 2012 hanya akan menambahkan beban guru dan murid yang sudah sedia berdepan dengan pelbagai perubahan daripada kementerian termasuk Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT).
“Isunya ialah pedagogi. Selagi cara pengajaran tidak berubah, jangan harap untuk kita mendapat perubahan (penguasaan bahasa Inggeris).
“PPSMI bukan penyelesaian. Itu menambah masalah kepada cikgu sedia ada. Cikgu baru belajar KBAT dan perubahan-perubahan dalam kementerian.
“Tapi apabila PPSMI dikembalikan, habis matikan segala usaha KPM selama ini,” tegasnya dalam slot Sembang Demokrasi Khas: “PPSMI Memperkasakan Apa?” di FB Live ABIM malam tadi.
Penerapan unsur KBAT yang menilai pelajar dalam kemahiran menilai, mencipta, menganalisis dan mengaplikasi terkandung dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025.
Sehubungan itu, Radin yang juga seorang guru mengingatkan pentingnya kualiti guru yang bukan opsyen dalam bahasa Inggeris bahkan Sains dan Matematik ditingkatkan terlebih dahulu.
“Kuasailah bahasa Inggeris dan bahasa asing apapun menggunakan pedagogi yang betul bukannya melalui (mata pelajaran) Sains dan Matematik.
“Tingkatkan kualiti guru Bahasa Inggeris. Ada 3,600 guru yang bukan opsyen Bahasa Inggeris. Terdapat ribuan juga guru yang bukan opsyen Sains dan Matematik,” jelasnya.
Dalam masa sama, beliau berkata, kerja-kerja pentadbiran guru juga perlu dikurangkan supaya pengajaran dapat diberi tumpuan sepenuhnya.
“Tingkatkan kualiti guru. InsyaAllah PISA (Programme for International Student Assessment atau Program Penilaian Pelajar Antarabangsa) meningkat,” ujarnya.
Untuk rekod, PISA merupakan kajian perbandingan antarabangsa yang menilai pencapaian dasar pendidikan sesebuah negara berdasarkan skor mata tiga domain yang diukur iaitu literasi saintifik, literasi bacaan dan literasi matematik.
Tidak meningkat
Mengulas lanjut keberkesanan PPSMI yang pertama kali dilaksanakan pada 2003, Radin berkata, data menunjukkan belajar Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris tidak meningkatkan pencapaian pelajar.
“Kita menolak PPSMI bukan kerana kita tak mahu bahasa Inggeris. Isunya Sains, Matematik tidak meningkat (dengan pelaksanaan PPSMI).
“Bahasa Inggeris ada meningkat hanya empat peratus pada 2008 iaitu generasi pelajar pertama menempuhi PPSMI. Tapi peningkatan itu masih tidak berbaloi dengan begitu banyak peruntukan dikeluarkan,” tegasnya.
Bahkan, jelasnya, tiada data yang menyakinkan menunjukkan PPSMI memberi kelebihan selain tiada negara lain yang berjaya dalam melaksanakan “eksperimen” seperti PPSMI.
“Sebaliknya, negara yang menggunakan bahasa ibunda jauh lebih baik pencapaian mereka dalam sains dan matematik sehingga Vietnam contohnya, menduduki tangga 10 teratas dalam PISA,” ujarnya.
Beliau turut mengingatkan dasar pendidikan sebelum ini yang menggunakan sepenuhnya bahasa kebangsaan dalam sistem pendidikan membolehkan ramai orang Melayu menikmati perubahan taraf hidup.
“Dengan dasar pembelajaran bahasa Melayu ramai orang Melayu dapat memasuki universiti. Sebaliknya, semasa era Melayu belajar bahasa Inggeris sepenuhnya, tidak ramai orang Melayu masuk universiti. Ini fakta,” ujarnya.
Dalam masa sama, Radin berpendapat PPSMI akan menyebabkan banyak istilah bahasa Melayu berkaitan sains, matematik dan teknologi semakin pupus.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan bahasa Melayu perlu diangkat sebagai bahasa sains dan teknologi.
“Sekarang ini kita sudah ada istilah-istilah sains dan matematik dalam bahasa Melayu yang sudah kukuh. Contohnya, pengkamiran. Kita sudah ada istilah-istilah ini.
“Tetapi apabila kita tidak gunakan dalam bahasa Melayu, istilah-istilah itu akan mati. Lambat-laun bahasa Melayu akan hilang.
“Kalau kita menjadi negara maju yang bukan dengan acuan bahasa Melayu, alangkah amat rugi sekali,” tambahnya lagi.
Sementara itu, undian sepanjang forum tersebut berlangsung menunjukkan 88 peratus penonton tidak bersetuju PPSMI dikembalikan.
