Malaysia Dateline

Tiada dominasi Ikram dalam AMANAH Selangor

Pengerusi AMANAH Negeri Selangor, Ir Izham Hashim menafikan wujudnya dominasi oleh Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram) terhadap AMANAH di kawasan Selangor seperti dakwaan pihak tertentu.

Walau bagaimanapun beliau tidak menolak kemungkinan wujudnya beberapa isu dalaman tetapi bukanlah disebabkan Ikram.

“Sebenarnya kenyataan itu tidak betul dan tidak tepat. Dalam pemerhatian saya, AMANAH ini bukannya Ikram sahaja. Pelbagai golongan yang masuk AMANAH yang terdiri dari Umno, Pas, dan juga Ikram.

“Jadi tak timbul isu penguasaan Ikram di kawasan Selangor. Kebetulan dia daripada Ikram nak masuk AMANAH. Jadi takkan kita nak salahkan latar belakang dia,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Malaysia Dateline selepas merasmikan Mesyuarat Tahunan Kali Ke-3 Kawasan Puchong, di Dewan Serbaguna MPSJ Batu 14, hari ini.

Izham ketika merasmikan Mesyuarat Tahunan Kali Ke-3 Kawasan Puchong.

Jelas Izham, perjanjian dalam parti itu sendiri jelas bahawa Ikram sebagai badan bukan kerajaan tidak boleh menyertai parti itu jika masih di bawah NGO berkenaan.

“Sebenarnya kita dari dulu ada perjanjian, Ikram ini, kalau mahu teruskan sebagai NGO, kena duduk dalam Ikram sahaja. Tapi kalau mahu terlibat dalam politik, dia akan masuk AMANAH dan tinggalkan Ikram.

“Itu perjanjian dahulu dan saya perhati sememangnya mereka ikut. Cuma kadang-kadang kalau dah berkawan lama, duduk dalam kawasan sama, nampak macam rapat tapi itu bukan kerana Ikram isunya, tapi kerana keselesaan dalam bekerja,” jelasnya.

Terdahulu, muncul dakwaan kononnya sesetengah anggota Ikram yang menyertai AMANAH sedang cuba menguasai parti berkenaan melalui pemilihan parti lebih-lebih lagi apabila ada pemimpin kanan Ikram menyertainya sebagai anggota pengasas.

Memetik laporan Malaysiakini bulan lalu, sumber yang dikatakan dari AMANAH Kelantan memaklumkan, beberapa kawasan di Selangor sudah dikuasai kumpulan Ikram, namun beliau enggan mendedahkan secara terperinci lokasi yang dimaksudkan.

Walau bagaimanapun, lapor Malaysia Dateline baru-baru ini, Pengarah Komunikasi AMANAH Kedah, Ustaz Ridzwan Abu Bakar menafikan dakwaan kononnya Ikram cuba untuk menguasai AMANAH sama ada di peringkat kawasan mahupun sayap dalam pemilihan Jawatankuasa Pimpinan (JKP).

Menurut Setiausaha Biro Hal Ehwal Syariah AMANAH Nasional itu, pemilihan bagi kepimpinan sesi 2019-2022 berlangsung dengan penuh harmoni dan demokratik.

Malah, Ikram turut menafikan dakwaan yang mengaitkan mereka dengan usaha terancang untuk menguasai parti politik AMANAH.

Timbalan Presidennya, Prof Badlishah Sham Baharin, mengganggap pihak yang membuat tuduhan tersebut berniat jahat kerana sengaja mahu melaga-lagakan Ikram dengan sesebuah parti politik.

Ahli AMANAH Kawasan Puchong berdiri menyanyikan lagu parti.