Malaysia Dateline

Tiada duit bayar kompaun, kata Presiden AMANAH

Prosedur operasi standard (SOP) dalam tempoh kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang terlalu ketat oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyebabkan pemimpin Pakatan Harapan (PH) sukar untuk bercakap dengan media.

Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Mohamad Sabu petang tadi enggan menjawab pertanyaan media dengan menegaskan tiada wang jika dikenakan kompaun melanggar SOP oleh pihak berkuasa.

“Tak boleh, tak boleh (adakan sidang media). (Kompaun) RM4,000, saya tak ada duit,” katanya ringkas.

Mohamad berkata demikian kepada pihak media ketika ditemui di sebuah warung di Felda Tun Ghafar Kemendor di Jasin.

Beliau serta Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng masing-masing hanya makan dan berbual sekitar 30 minit, sebelum terus meninggalkan warung itu.

Ketiga-tiga pemimpin tertinggi PH itu bersama calon PKR bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.25 Rim, Prasanth Kumar Brakasam menyantuni anak muda tempatan di Felda tersebut.