Malaysia Dateline

Tiada gangguan dari SElangkah dalam daftar AZ, kata Khairy dan Amirudin

Menteri Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin dan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari setuju bahawa tidak berlaku manipulasi sistem oleh pihak SElangkah dalam pendaftaran untuk mendapatklan vaksin AstraZeneca (AZ) sepertimana didakwa oleh beberapa pihak baru-baru ini.

Dalam kenyataan bersama mereka berdua berkata, “Tidak berlaku manipulasi SElangah sepertimana didakwa oleh beberapa pihak baru-baru ini.”

Kenyataan bersama itu dibuat selepas pertemuan antara Amirudin dengan Khairy semalam di PPV Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) bagi mencari penyelesaian kepada isu yang timbul berhubung pendaftaran vaksin AstraZeneca tempoh hari serta perancangan meningkatkan kadar harian vaksinasi di negeri Selangor.

Timbalan Khairy, Datuk Ahmad Amzad Hashim baru-baru ini meletakkan kesalahan kepada SElangkah sebagai punca berlakunya kekecohan yang berlaku dalam pendaftaran AstraZaneca baru-baru ini.

“Kita mengesan pendaftaran dalam jumlah yang ramai ini dilakukan melalui aplikasi SELANGKAH milik Kerajaan Selangor. Kami memandang serius mengenai etika ini dan mengharapkan kerajaan mengambil tindakan yang serius terhadap apa yang berlaku,” kata Amzad, ahli Parlimen Pas kawasan Kuala Terengganu itu.

Khairy sebelum ini membuat permohonan maaf berikutan berlakunya kekecohan dalam pendaftaran AstraZaneca itu.

BUKA PUSAT VAKSIN MEGA

Dalam kenyataan itu juga Khairy selaku Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK)  berkata,  pihaknya telah bersetuju untuk membuka Pusat Pemberian Vaksin (PPV) berskala mega di beberapa lokasi di sekitar Selangor.

“PPV ini akan dibuka secara berperingkat bermula minggu kedua bulan Jun,” katanya dalam kenyataan bersama itu.

Menurut Khairy, perbincangan yang telah berjalan dalam suasana harmoni ini juga telah bersetuju untuk meningkatkan kerjasama strategik antara pihak kerajaan negeri Selangor dan pihak Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) bagi membolehkan PICK berjalan dengan lancar serta teratur, seterusnya mencapai sasaran imuniti kelompok.

Jelas Khairy, ImuniSel adalah sebuah inisiatif Kerajaan Negeri Selangor untuk mendaftar vaksin secara offline untuk golongan yang sukar mempunyai akses digital.

Setiap individu yang membuat pendaftaran vaksin menerusi ImuniSel telah memberikan kebenaran untuk
didaftarkan bagi vaksinasi PICK.

“Walau bagaimanapun, seperti yang telah diumumkan oleh CITF, tempahan slot vaksin AstraZeneca adalah dibuat secara sukarela atau opt in atas persetujuan dan pemahaman setiap individu terhadap vaksin AstraZeneca.

“Justeru, pendaftaran bagi vaksin AstraZeneca memerlukan persetujuan berbeza berbanding vaksin-vaksin lain yang berada dalam program arus perdana PICK.

“Pihak ImuniSel mengambil maklum berhubung keperluan mendapatkan kebenaran berbeza ini sebelum pendaftaran bagi vaksin AstraZeneca dibuat,” katanya.

Menerusi pendaftaran AZ yang dibuat oleh Imunisel tanpa pengetahuan mereka, Khairy menjelaskan terdapat beberapa individu yang telah terlebih dahulu menerima janji temu vaksinasi bukan AstraZeneca, digantikan dengan janji temu baharu bagi vaksin AstraZeneca.

“Bagi menyelesaikan isu ini, pihak ImuniSEL telah bersetuju untuk menyerahkan senarai nama individu yang telah didaftarkan tempoh hari untuk dihubungi oleh pihak CITF bagi mendapatkan persetujuan menerima vaksin AstraZeneca.

“Bagi individu yang terkesan akibat penggantian janji temu dan tidak bersetuju dengan janji temu baharu yang diberikan, individu terbabit akan diberikan semula janji temu terdahulu.

“Pihak CITF juga turut memaklumkan bahawa terdapat beberapa individu yang telah mendapat janji temu vaksin AstraZeneca menerusi pendaftaran yang telah dibuat oleh pihak lain termasuklah ahli keluarga ataupun majikan mereka,”katanya.

Bagi menyelesaikan masalah ini, satu ciri tambahan di aplikasi MySejahtera akan dibangunkan dalam masa terdekat bagi membolehkan individu yang terkesan terutamanya yang telah menerima janji temu baharu
menggantikan janji temu terdahulu, dapat memberi maklum balas dan mendapat penyelesaian segera.

Kerajaan Negeri Selangor telah memaklumkan bahawa pihaknya telah melaksanakan pendaftaran vaksin AstraZeneca bagi pihak individu yang telah mendaftar di bawah kempen bantuan (outreach) ImuniSel.

Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) mengambil maklum dan menghargai usaha yang dijalankan oleh Kerajaan Negeri Selangor serta pihak-pihak lain bagi membolehkan seramai mungkin individu di Malaysia termasuklah di Selangor mendaftar dan mendapat vaksinasi COVID-19.