Malaysia Dateline

Tiada halangan Pas, Umno bermimpi perkara yang mereka impikan, kata Fahmi Fadzil

Tiada halangan Pas, Umno bermimpi perkara yang mereka impikan, kata Fahmi Fadzil

Ahli Parlimen Lembah Pantai, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil menyifatkan, tiada halangan kepada Pas dan Umno untuk bermimpi sesuatu perkara yang mereka impikan.

Fahmi berkata demikian sebagai susulan terhadap kesemua 18 ahli parlimen Pas dan enam dari Umno yang mahu Tun Dr Mahathir kekal memerintah negara.

Sokongan itu dinyatakan mereka susulan Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dilaporkan bertegas mahu Perdana Menteri terus diberi mandat sehingga pilihan raya umum akan datang, dan usaha memendekkan tempoh beliau dikira sebagai cubaan mewujudkan kerajaan ‘pintu belakang’.

Namun Fahmi berkata, pihaknya (Pakatan Harapan) tidak terjejas dengan sebarang kenyataan atau pun sokongan yang dinyatakan dengan cara sedemikian.

“Saya rasa ini adalah pandangan beberapa individu kerana kalau kita lihat kenyataan daripada Presiden Umno (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) juga menampakkan tidak semua dalam Umno itu, bersetuju dengan tindakan oleh enam ahli parlimen tersebut, namun itu hak mereka.

“Muafakat kami (PH) jelas dan Dr Mahathir juga telah berkali-kali menempelak usaha ‘kerajaan pintu belakang’ iaitu pada Kongres Maruah Melayu yang diadakan pada sebelum ini.

“Dalam kongres tersebut, beliau (Dr Mahathir) tidak menyampaikan amanat yang diharapkan oleh sesetengah pihak. Hari kemudiannya pula, Dr Mahathir juga telah menolak pelawaan daripada Timbalan Presiden Umno untuk membentuk satu kerajaan.

“Saya merasakan pendirian Dr Mahathir adalah konsisten dan perancangan untuk peralihan kuasa itu akan kekal seperti yang dipersetujui Majlis Presiden PH,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai 18 wakil rakyat Pas dan 6 wakil rakyat dari Umno yang menyokong Dr Mahathir kekal memerintah negara.

Semalam, ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2020 di Dewan Rakyat, Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan menyatakan jika apa-apa berlaku pihaknya tetap mengundi untuk Dr Mahathir.

Terdahulu, dalam majlis sama, Fahmi menghadiri Syarahan Umum bertajuk ‘Kemiskinan, Martabat Insan & Masa Depan Belia yang turut dihadiri Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) UM, Prof Dr Abdul Aziz Abdul Rahman.