Malaysia Dateline

Tiada inisiatif pulih ekonomi, kabinet Muhyiddin ‘makan gaji buta’

Kabinet Muhyiddin Yassin antara kabinet yang terbesar dalam sejarah Malaysia namun jarang sekali kedengaran insiatif pemulihan ekonomi daripada menteri-menteri yang ada, demikian menurut Ketua Pemuda AMANAH Nasional Shazni Munir Mohd Ithnin.

Beliau berkata, Unjuran Pusat Penyelidikan Sosio-Ekonomi (SERC) pada 6 Oktober lepas menyebut ekonomi Malaysia menguncup kepada 4.0% untuk tahun 2020, susulan pergelutan berlanjutan terhadap pandemik Covid-19.

Pengarah Eksekutif SERC, Lee Heng Guie pula mengatakan unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berdasarkan senario asas di mana rantaian perbekalan terganggu serta permintaan domestik lembap kerana tempoh yang lama bagi mengekang wabak tersebut.

“Dengan kesemua fakta ini, adakah Perdana Menteri sedar bahawa rakyat semakin susah untuk meneruskan hidup? Pada mulanya beliau mengatakan keadaan terkawal.

“Kemudian mendakwa tidak mahu bermain politik.

“Sedangkan dalam masa yang sama kabinet beliau langsung tidak berfungsi untuk mengeluarkan rakyat dari kemelut pengangguran!

“Adakah kabinet ini dianggotai mereka yang makan ‘gaji buta’?” soal beliau.

Ternyata, katanya Muhyiddin telah gagal dan harus meletakkan jawatan segera kerana ketika ini negara memerlukan nakhoda baharu dengan jemaah menteri yang lebih efisien untuk membantu ekonomi rakyat.

“Bukannya sekadar membaca doa di depan televisyen dengan para menteri yang sewenang-wenangnya melanggar SOP,” kata beliau.

Tambahnya, bukti permasalahan pekerjaan sangat meruncing apabila sebahagian besar rakyat Malaysia menggesa kerajaan meneruskan moratorium.

Shazni juga menegaskan isu berkaitan poket rakyat jika tidak ditangani dengan baik akan menjejaskan keseluruhan sistem, perkara ini amat penting untuk memastikan kebajikan rakyat keseluruhannya terpelihara.

Bank Negara Malaysia (BNM) baru sahaja mengeluarkan kenyataan bahawa lebih 750,000 peminjam masih memerlukan moratorium pinjaman, dan angka ini jauh lebih tinggi daripada angka pengangguran rasmi.

Menurut statistik Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) yang dikeluarkan pada 13 Ogos 2020 lalu, kadar pengangguran negara pada Ogos kekal pada 4.7%, iaitu penambahan 222,000 individu menganggur berbanding tahun lepas.

Walau bagaimanapun, ini sudah pasti satu anggaran yang rendah, kerana tidak mengambil kira mereka yang diberi cuti tanpa gaji atau masih bekerja tapi dipotong gaji, kata beliau.