Malaysia Dateline

Tiada insentif khusus pertingkat mutu BDR sukarkan urusan hidup rakyat

Keputusan kerajaan Perikatan Nasional (PN) melanjutkan lagi tempoh PKP 3.0 ke suatu tarikh yang tergantung bukan sahaja melumpuhkan ekonomi rakyat tetapi juga menyukarkan urusan hidup rakyat.

Ini adalah kerana segala urusan hidup rakyat terhenti dengan penutupan banyak sektor ekonomi dan perkhidmatan termasuk perkhidmatan awam.

Walaupun 20 peratus penjawat awam dibenarkan bekerja secara fizikal dan selebihnya bekerja dari rumah (BDR), namun banyak urusan kritikal tidak dapat dijalankan.

Walaupun sesetengah sektor kerajaan ini tidak tergolong dalam barisan hadapan (frontliners), namun ada sektor kritikal dengan urusan rakyat yang perlu diberikan perhatian khusus bagi memastikan penyampaian perkhidmatan yang berkesan.

Terdapat beberapa contoh urusan rakyat yang kritikal pada pandangan saya:

i) Pendaftaran Sijil Lahir dan Kad Pengenalan yang tertangguh dan banyak temujanji dengan pihak JPN dibatalkan melambatkan perolehan dokumen sah yang merupakan instrumen penting urusan rakyat.

ii) Pembayaran kepada PKS yang terlibat dengan perbekalan atau kontrak kerajaan juga mengalami kelewatan yang pasti menjejaskan aliran tunai mereka.

iii) Urusan jual beli hartanah juga tertangguh kerana urusan pendaftaran dokumentasi di Pejabat Tanah tidak dapat dijalankan yang boleh merugikan pembeli dan tuan tanah.

Walaupun pinjaman telah diluluskan, namun proses pindah milik tergendala kerana urusan dengan sektor kerajaan berkaitan tertangguh.

iv) Hak rakyat dari sudut undang-undang baik sivil dan syariah juga tertangguh dengan urusan mahkamah yang terbatas dan ini menjejaskan tuntutan yang perlu diselesaikan segera.

Penangguhan penyelesaian kes-kes melibatkan tuntutan hak ini seperti nafkah anak boleh meningkatkan tekanan hidup kepada rakyat dan kebimbangan ini adalah besar dengan jumlah kes bunuh diri yang sudah mencecah 270 kes.

Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam kenyataan pada 6 Julai 2020 lalu memaklumkan bahawa cara kerja pentadbiran kerajaan perlu diubah, seharusnya penekanan diberikan bagi meningkatkan mutu perkhidmatan BDR.

Walaupun kerajaan menetapkan BDR, seharusnya kerajaan memperuntukkan insentif khusus kepada penjawat awam yang terlibat dengan urusan kritikal seperti yang dinyatakan di atas.

Apakah polisi dan kaedah yang digunakan untuk memastikan BDR sektor awam ini benar-benar berjalan dengan berkesan? Pegawai kerajaan bersedia memberikan perkhidmatan terbaik, namun polisi dan kaedah yang berkesan perlu ditetapkan kerajaan.

Sepatutnya, kerajaan PN boleh menjangkakan situasi ini sebelum ini jika PKP penuh dilaksanakan semula dan membuat persediaan rapi bagi membolehkan urusan kritikal rakyat ini tidak terjejas.

Kerajaan tidak boleh hanya mengambil jalan mudah untuk mengawal penularan wabak Covid-19 dengan hanya melaksanakan PKP penuh sedangkan tiada persediaan tersusun untuk memastikan urusan hidup rakyat yang kritikal terus berjalan tanpa gangguan.

Urusan hidup rakyat ini pula tidak boleh diselesaikan segera selepas tamatnya PKP 3.0 jika mutu BDR tidak dipertingkatkan kerana lambakan urusan atau kes akan bertambah akibat penangguhan yang berlaku ketika PKP 3.0.

Di samping itu, kerajaan juga perlu menyegerakan PKP bersasar supaya sektor perkhidmatan dan kerajaan berkaitan urusan yang kritikal dapat berjalan semula dengan pelaksanaan fasiliti kalis pandemik di pejabat-pejabat kerajaan disediakan bagi memastikan keselamatan dan kesihatan rakyat terutama penjawat awam terjamin.

Seharusnya, dalam melaksanakan PKP penuh ini, kerajaan menerusi MKN mengadakan konsultasi dengan semua pihak berkepentingan dan pemegang taruh (stakeholders) supaya urusan kritikal hidup rakyat dapat berjalan seperti biasa dan ekonomi rakyat tidak terjejas.

Sebagai contoh, penangguhan urusan pindah milik hartanah dan kes-kes di mahkamah telah menjejaskan pendapatan firma guaman yang bukan sahaja melumpuhkan ekonomi, tetapi boleh menyebabkan kehilangan pekerjaan terus meningkat.

Kelemahan kerajaan memastikan urusan kritikal hidup rakyat ini berjalan dengan berkesan dan tiadanya persediaan tersusun berhadapan PKP 3.0 merupakan bukti kerajaan PN adalah kerajaan gagal.

 

*FAIZ FADZIL merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Pasir dan Ahli Jawatankuasa Pimpinan AMANAH Nasional.