Malaysia Dateline

Tiada istilah boikot dalam Pemuda AMANAH

Tidak ada istilah boikot dalam Pemuda AMANAH, malah dalam AMANAH semua peringkat diberi hak untuk mengetengahkan suara dan pandangan mereka.

Demikian dinyatakan oleh Timbalan Ketua Pemuda AMANAH Nasional, Faiz Fadzil ketika ditemui di Bayan Baru kelmarin.

Menurut beliau, pembahagian kerusi telah pun dibincang oleh pimpinan dan tidak harus timbul apa jua kekeliruan lagi.

“Pimpinan parti yang mendokong AMANAH adalah mereka yang telah berpengalaman dan begitu masak dengan sepak terajang dalam politik.

“Terdapat antara mereka yang telah berjuang lebih daripada 30 tahun dalam arena politik sehinggakan sanggup bermandi peluh dan ditemani embun pagi.

“Keputusan yang mereka buat seringkalinya menjurus kepada pelbagai sudut termasuk kepentingan parti dan juga negara,” ujarnya lagi.

Tegas Faiz lagi, kebebasan bersuara dan pandangan yang dilemparkan termasuk akar umbi membuktikan kesediaan pemimpin AMANAH mendengar kritikan dan luahan rasa mereka.

“Mengeluarkan pandangan adalah perkara yang baik dalam melaksanakan demokrasi.

“AMANAH memberi ruang kepada ahli untuk menzahirkan pendapat mereka walaupun keputusan telah dibuat.

“Sehubungan itu tidak ada istilah boikot oleh mana-mana ahli atau pun pemimpin peringkat Pemuda,” jelasnya.

Beliau turut berkata, pertemuan kerap diadakan dengan pimpinan dan pemuda di peringkat akar umbi,

“Yang penting bagi kita ialah ‘move forward’ dan memberi nasihat bagi memastikan kemenangan 27 kerusi Parlimen yang ditandingi oleh AMANAH dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang.

“Kerja keras, bersungguh-sungguh dan penyatuan yang kuat serta sepakat bersama-sama dengan Pakatan Harapan (PH) mampu untuk merealisasikan aspirasi tersebut.

“Saya juga optimis pimpinan Pemuda AMANAH di peringkat akar umbi telah pun faham mengenai hasrat menggunung PH bagi memenangi PRU14,” katanya.

Tambahnya lagi, masa yang begitu singkat masih berbaki sebelum PRU14, wajib diakses dengan semaksimum mungkin.

Beliau juga berkata pemuda harus pastikan 3.7 juta yang belum berdaftar sebagai pengundi menunaikan tanggungjawab mereka dengan segera.

Kegagalan ini tegasnya, merupakan suatu kerugian besar yang mampu memberi kemenangan sekali lagi kepada Umno-BN yang semakin kemaruk kuasa untuk terus memerintah negara ini.

Sumbang RM15 atau lebih untuk bantu Kempen AMANAH

iklan berbayar