Pasport Perancis milik lelaki warga Israel yang ditahan di sebuah hotel di ibu negara bersama enam pucuk pistol dan 200 butir peluru baru-baru, disahkan tulen.
Hal ini sekaligus membuktikan bahawa isu mengenai kelemahan penguatkuasaan di pintu masuk negara yang dibangkitkan oleh sesetengah pihak adalah tidak benar.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail memaklumkan semakan mendapati pasport berkenaan dikeluarkan oleh Kedutaan Perancis di Tel Aviv, Israel.
Perkara ini membolehkan lelaki tersebut mengemukakan dokumen perjalanan yang tulen semasa melalui pemeriksaan pihak keselamatan negara, lapor Berita Harian.
“Senarionya seperti jika saya tinggal di Australia, pejabat (Kedutaan Malaysia) yang mengeluarkan pasport akan berada di Melbourne. Maka saya adalah warganegara Malaysia tetapi pasport dikeluarkan di Australia. Begitu juga dengan lelaki Israel itu.
“Dari perspektif sistem imigresen dan undang-undang imigresen kita, jika dokumen perjalanan itu sah dan kita tiada masalah dengan negara mengeluarkan dokumen perjalanan dan dia tiada dalam senarai hitam, kita benarkan kemasukan,” katanya memetik laporan Berita Harian.
Pada masa yang sama, Saifuddin turut menggesa orang ramai untuk memberikan keyakinan penuh terhadap siasatan dijalankan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Mengulas lanjut, Saifuddin menyifatkan kes ini telah menunjukkan kepentingan dasar ketegasan negara yang tidak membenarkan rakyat memiliki dwi-kewarganegaraan.
“Saya juga telah diberi taklimat mengenai perkembangan dari semasa ke semasa (berhubung siasatan) dan pencapaian mereka (PDRM) adalah membanggakan setakat ini.
“Suspek menggunakan pasport Perancis yang sah dan ada kemungkinan dia adalah warga Israel yang memegang pasport Perancis.
“Sebab itu semasa perbahasan mengenai pindaan perlembagaan mengenai dua kerakyatan, kita tidak mengiktirafnya. Sekarang anda nampak kenapa kami tegas mengenainya,” jelasnya.
Sementara itu, Saifuddin memberi jaminan bahawa sudah menjadi tugas polis untuk menjaga keselamatan penduduk tanpa mengira warganegara termasuklah Palestin.
“Semua nyawa adalah penting, tanpa mengira bangsa mereka. Tanggungjawab polis adalah menjaga keselamatan dan ketenteraman orang ramai. Itulah jaminan kami.
“Jika rakyat Palestin yang tinggal di negara ini ada alasan kukuh bahawa keselamatan mereka terancam, sudah tentu pihak polis akan memberi perhatian terhadap perkara itu.” Ulasnya.
Terdahulu, seorang lelaki berusia 36 tahun dipercayai warga Israel ditahan PDRM di sebuah hotel yang terletak di Jalan Ampang, Kuala Lumpur, pada 27 Mac lalu.
Suspek yang memiliki enam senjata api bersama 200 butir peluru itu memasuki negara ini melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sejak 12 Mac lalu.
Siasatan lanjut oleh pihak polis turut mendapati bahawa kesemua senjata berkenaan telah dibeli suspek sebaik tiba di negara ini dengan menggunakan mata wang kripto.
Polis kemudian bertindak menahan tiga warga tempatan termasuk sepasang suami isteri yang disyaki telah membekalkan senjata api dan juga peluru kepada lelaki Israel itu.
Baca juga: Setiap tahun buat muzik video penuh kontroversi, MCMC diminta ambil tindakan terhadap Aliff Syukri