Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Abdul Karim memaklumkan tiada kempen secara terbuka atau dari rumah ke rumah pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-12 nanti.
Katanya, semasa taklimat oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), kerajaan negeri telah diberitahu bahawa tidak akan ada kempen terbuka atau kempen dari rumah ke rumah seperti yang berlaku pada PRN Melaka sekarang ini.
“Semasa mengundi, kita perlu menjalani proses yang sama seperti cara kita memasuki pasar raya sekarang yang mana semua orang perlu melalui saringan, memakai pelitup muka, mengamalkan penjarakan fizikal dan sebagainya.
“Langkah-langkah ini mungkin melambatkan proses mengundi tetapi jika kita mempunyai lebih banyak laluan, ia akan mempercepatkan proses itu. Oleh itu, ia tidak menjadi masalah kerana kaedah kempen yang berbeza tidak membuatkan demokrasi negara itu telah cacat, ” tegas beliau di Kuching hari ini.a
Bgaimanapun, katanya belum ada kenyataan rasmi berhubung perkara itu kerana Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak masih belum dibubarkan.
Justeru, kata Abdul Karim yang penting ialah pengundi tahu calon, parti yang diwakili, latar belakang akademik dan manifesto parti-parti yang bertanding.
“Para pengundi boleh menilai sendiri sama ada calon sebenar yang mereka mahu undi,” jelasnya.
Sebelum ini, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin telah mengumumkan larangan aktiviti perhimpunan dan majlis sosial berkaitan PRN Melaka tidak dibenarkan bermula 25 Oktober sehingga 27 November ini.
Larangan itu dibuat berdasarkan peruntukan di bawah sub peraturan 10(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di Dalam Kawasan Tempat Jangkitan) (Pelan Pemulihan Negara) 2021