
Tiada keperluan tubuh RCI kes Adib, kata Zuraida
Tiada keperluan buat masa ini untuk kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat punca kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim, kata menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin.
Ini kerana inkues kematian Adib, yang bermula sejak Februari lalu, sedang berjalan dengan baik.
“Saya rasa tidak perlu RCI buat ketika ini kerana prosiding kes berjalan dengan baik dan kita tunggu keputusan koroner,” katanya mengulas desakan Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) semalam agar kerajaan menubuhkan RCI, dengan alasan inkues yang sedang berjalan sekarang diragui ketelusannya.
Mengenai pelantikan peguam baru mewakili kementerian itu dan bomba dalam inkues Adib, beliau akan menyemak dengan Peguam Negara Tommy Thomas bagi mengetahui nama yang dicadangkan.
Pada 27 Mei lalu, peguam Syazlin Mansor, yang mewakili keluarga Muhammad Adib, kementerian dan bomba menarik diri daripada inkues itu.
Pada 12 Jun lalu, beliau mengumumkan untuk kembali mewakili keluarga Adib.