Tiada keperluan tunaikan umrah, Mohd. Isa gagal dapatkan pasport

Tiada keperluan tunaikan umrah, Mohd. Isa gagal dapatkan pasport

Bekas Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad hari ini gagal dalam permohonannya untuk mendapatkan sementara pasportnya bagi menunaikan umrah.

Hakim Mahkamah Sesyen Azura Alwi memutuskan demikian selepas menolak permohonan Mohd. Isa yang ingin menunaikan ibadah umrah pada 10 hingga 21 Februari ini.

Dalam penghakimannya, Azura menegaskan walaupun bekas Naib Presiden Umno yang selaku pemohon tidak berisiko untuk melarikan diri namun tiada keperluan mendesak untuk beliau menunaikan umrah.

Terdahulu, bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu didakwa 10 pertuduhan pecah amanah dan rasuah berjumlah lebih RM3 juta berhubung pembelian sebuah hotel di Kuching, Sarawak.

Pada 25 Januari lalu, Mohd. Isa yang diwakili peguam-peguam Datuk K. Kumaraendran dan Ridha Abdah Subri mengemukakan permohonan kepada mahkamah untuk mendapatkan pasportnya bagi menunaikan umrah.

Pada 14 Disember tahun lalu, dia mengaku tidak bersalah terhadap satu pertuduhan pecah amanah dan sembilan pertuduhan menerima rasuah berjumlah lebih RM3 juta bagi meluluskan pembelian sebuah hotel di Kuching, Sarawak oleh Syarikat Felda Investment Corporation (FIC) Sdn. Bhd.

Mohd. Isa didakwa melakukan perbuatan itu di tingkat 49, Menara Felda, Platinum Park, No. 11, Persiaran KLCC dekat sini antara 21 Julai 2014 dan 11 Disember 2015.

Pertuduhan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan dan boleh dikenakan denda dan Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

Tertuduh juga boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut yang mana lebih tinggi.