Tiada kerajaan perpaduan dalam keadaan darurat kata Pas

Tiada kerajaan perpaduan dalam keadaan darurat kata Pas

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Pas tidak bersedia mengadakan kerajaan perpaduan dengan Umno dalam keadaan darurat kerana menganggap keputusan mengenai perkara itu perlukan keikhlasan.

“Tujuan kena ikhlas (untuk mewujudkan kerajaan perpaduan), jangan tujuan kerana darurat. Ini darurat, tidak boleh,” kata Presiden PAS, Dato’ Seri Abdul Hadi Awang seperti dilaporkan Sinar harian yang dipetik selepas kuliah mingguan di Rusila semalam.

Beliau menjawab ringkas “Tidak boleh!”, apabila ditanya mengenai penubuhan kerajaan perpaduan di antara Pas dan Umno di Terengganu pada saat Umno dalam keadaan terumbang-ambing.

Malah, beliau turut menyifatkan kedudukan Umno di negeri Terengganu kini dalam keadaan ‘darurat’ berikutan krisis yang melibatkan Menteri Besar, Ahmad Razif Abdul Rahman dengan Istana Terengganu.

Bagaimanapun beliau mengaku tidak mengikuti sepenuhnya perkembangan Umno di negeri itu.

Ketika ditanya selain faktor politik semasa, adakah Pas meletakkan apa-apa syarat jika Umno di Terengganu mahu bersama dengan Pas yang dasarnya memperjuangkan Islam, tegasnya, perkara itu sudah dimaklumkan sebelum ini.

“Kita dah cakap lama (mengenai penubuhan kerajaan perpaduan). Kena baca balik (kenyataan-kenyataan saya sebelum ini),” katanya ketika ditemui selepas berakhirnya kuliah pagi Jumaat di Masjid Rusila di sini, semalam.

Kenyataan Ahli Parlimen Marang itu jelas menunjukkan ketegasan pendiriannya sebelum ini yang diluahkan selepas merasmikan Himpunan NGO Marang di pekarangan Masjid Pasir Puteh, Merchang, di sini, minggu lalu.

Ketika itu, beliau berkata Pas tidak ada halangan untuk bersama mana-mana parti politik di negara ini dengan syarat mereka boleh menerima Islam, al-Quran dan as-Sunnah.

“Siapa pun tak kisah, Umno ke, DAP pun… jika terima Islam. Siapa yang masuk Islam kita terima,” katanya.

Dalam kenyataan sama, beliau juga dipetik berkata, jika Umno bersedia bersama dengan Pas, muzakarah perlu diadakan bagi mencari titik persamaan itu.

Sementara itu, ketika mengulas pandangan pendakwah terkenal, Dr Zakir Naik yang mencadangkan agar parti Pas dan Umno bergabung, Abdul Hadi mengulangi syarat Dr Zakir, iaitu mengikut al-Quran dan as-Sunnah.

“Dr Zakir sebut kena ikut al-Quran dan as-Sunnah, tapi orang lupa syarat itu,” katanya

TAGS