Tiada kerajaan perpaduan dengan pembangkang, barisan Kabinet diumum minggu ini

Oleh ARIF ATAN

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan tiada kerajaan campuran akan dibentuk dengan parti-parti pembangkang.

Naib Presiden Umno itu berkata, kerjasama dengan pembangkang hanya melibatkan isu berkaitan Covid-19 dan pemulihan ekonomi melalui Majlis Pemulihan Negara (MPN) dan Jawatankuasa Khas Menangani Covid-19.

Beliau juga berkata tiada pemimpin pembangkang akan dilantik menganggotai Kabinetnya yang akan diumumkan minggu ini.

“(Lantikan) Kabinet tidak ada.

“Tiada kerajaan perpaduan yang melibatkan pembangkang,” katanya menerusi rakaman video sidang media di Sungai Petani, Kedah.

Dalam masa sama, Ismail berkata, kerajaan setakat ini menerima maklum balas menggalakkan daripada pembangkang yang mahu tahu peranan ditawarkan pada mereka.

“Insya-Allah kita akan berjumpa dengan mereka, berbincang apa yang boleh,” katanya lagi.

Untuk rekod, ‘hayat’ kerajaan diterajui Ismail hanya 21 bulan sebelum Parlimen dibubarkan bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Buat masa ini, kerajaan dipimpin Ismail disokong 54 Ahli Parlimen PN, BN (41), Gabungan Parti Sarawak (18) serta seorang Ahli Parlimen dari Parti Bersatu Sabah (PBS).

Semalam, Ismail dalam ucapan sulungnya sebagai Perdana Menteri berkata, kerajaan menawarkan ruang kepada kepemimpinan pembangkang untuk menganggotai MPN dan Jawatankuasa Khas Menangani Covid-19.

Menurut Ahli Parlimen Bera itu, kerjasama rentas parti akan diwujudkan dalam mencapai kestabilan politik yang perlu segera dicapai menerusi kebersamaan bagi menangani kemelut politik yang melanda negara.