Tiada kerjasama BN dengan Mustapa di Dun Kelantan

Tiada kerjasama BN dengan Mustapa di Dun Kelantan

Ketua Penerangan Umno Datuk Md Alwi Che Ahmad berkata tiada sebarang kerjasama membabitkan Barisan Nasional (BN) dengan Datuk Seri Mustapa Mohamed yang baharu menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di Dewan Undangan Negeri (Dun) Kelantan.

Md Alwi, yang juga Ketua Pembangkang Dun Kelantan berkata BN kekal menjadi pembangkang kepada Pakatan Harapan (PH) walaupun kedua-duanya berstatus pembangkang di negeri ini.

“Kita pembangkang kepada PH, tidak akan ada kerjasama pada saya. Tapi saya tak tahulah jika dia (Mustapa) nak bekerjasama dengan kerajaan negeri sebab di sana (Parlimen) dia kerajaan tapi di sini dia pembangkang,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika sidang Dewan Undangan Negeri (Dun) Kelantan berhenti rehat di Kompleks Kota Darul Naim hari ini lapor Bernama.

Mengulas lanjut, Md Alwi berkata penyertaan Mustapa ke dalam Bersatu bukanlah satu kehilangan besar kepada BN Kelantan.

“Pemergian beliau adalah perkara biasa. Masalah kita, kita terlalu memberi gambaran seolah-olah Mustapa Mohamed ini adalah ikon dan segala-galanyanya, tetapi sebenarnya dia bukan.

“Macam saya katalah, ku sangkakan permata rupanya kaca…,” katanya.

Ditanya mengenai dakwaan lebih ramai anggota Umno akan mengikut jejak langkah Mustapa menyertai Bersatu selepas ini, Md Alwi yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Kok Lanas berkata setakat ini parti berkenaan masih utuh.

“Setakat ini tak ada cawangan dibubarkan walaupun kita dah kalah lima bulan. Anda pernah dengar ada cawangan Umno dibubarkan di Malaysia atau ada ketua bahagian yang membubarkan bahagiannya

“(Dengan keadaan semasa) apa yang menghalang mereka menyertai Bersatu sekarang Ia jelas menunjukkan anggota Umno masih utuh (dengan perjuangan parti),” katanya.

Jumaat lepas, Mustapa, yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Air Lanas menyertai Bersatu dan menyerahkan borang keanggotaannya kepada Pengerusi Bersatu yang juga Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dalam satu majlis di Petaling Jaya.

COMMENTS

Wordpress (0)