Tiada kerjasama dengan pengkhianat, tegas Wanita Harapan

Oleh KIM SYAZIE

Ketua Wanita Pakatan Harapan, Aiman Athirah menegaskan tiada sebarang kerjasama dengan mana-mana kumpulan yang pernah mengkhianat mandat rakyat.

Ia merujuk kepada kumpulan Bersatu dan beberapa serpihan dari PKR yang terlibat dalam rancangan Langkah Sheraton untuk menggulingkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada tahun 2020.

Aiman Athirah berkata, cadangan Perikatan Nasional (PN) untuk bekerjasama bagi menghadapi Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 akan datang, menjelaskan kegusaran mereka terhadap jalan-jalan mati yang ada di hadapan mereka ketika ini.

Beliau melihat ajakan PN itu bukanlah untuk menyelamatkan rakyat dari regim Umno tetapi lebih kepada menyelamatkan diri dan masa depan mereka sendiri.

Ini kerana jika berlaku pertandingan tiga penjuru dalam PRU15, Bersatu akan menjadi pihak yang paling rugi.

“Seperkara utama yang Mahiaddin Yasin dan pemimpin-pemimpin Bersatu mungkin gagal atau tidak mahu memahami adalah bahawa Pakatan Harapan tidak mungkin sama sekali untuk menerima sebarang kerjasama dengan para pengkhianat mandat rakyat,” tegasnya dalam satu kenyataan terbaru pagi ini.

Apa lagi katanya kesan daripada pengkhianatan itu bukan sahaja telah membawa kepada jatuhnya PH, bahkan menyebabkan politik negara berada dalam keadaan sangat kucar kacir dan tidak stabil.

Ini sekaligus menjejaskan lagi keyakinan para pelabur asing menyebabkan pelbagai kesan domino yang bukan sedikit kepada maruah, moral dan masa depan negara, kata Ketua AWAN itu lagi.

“Baik Mahiaddin mahupun Radzi Jiddin sudah tentu sangat menyedari bahawa rakyat akan menghukum mereka dalam PRU15 atas tindakan pengkhianatan mereka sehingga jatuhnya kerajaan mandat rakyat iaitu PH pada Februari 2020.

“Bukan itu sahaja, tindakan pengkhianatan Mahiaddin dan Bersatu inilah yang hakikatnya telah memberi kuasa semula kepada regim Umno-BN penyamun dan perompak negara itu untuk kembali memerintah Malaysia,” ujarnya.

Terdahulu, Tan Sri Mahiaddin Md Yasin menggesa semua pimpinan parti pembangkang mempertimbang membuka semula pintu rundingan dengan PN, jika masing-masing sepakat bahawa BN adalah musuh utama pada PRU15.

Beliau menyarankan langkah itu bagi mengelakkan BN kembali berkuasa dan mengulangi amalan salah guna kuasa serta rasuah dalam pentadbiran negara.

Seruan itu turut disokong Naib Presiden Bersatu, Datuk Dr Radzi Jidin yang menganggap ajakan kerjasama itu adalah rasional.

Aiman Athirah

Baca juga: Tular surat minta hakim percepatkan kes Zahid Hamidi

Baca juga: Ramai minta cuti peristiwa sempena kemenangan badminton dunia, siap ada yang ‘PM’ tepi Ismail Sabri