Tiada kerjasama Pakatan Harapan-Pas PRU14

Tiada kerjasama Pakatan Harapan-Pas PRU14

Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) sekali lagi menegaskan, gabungan itu tidak akan bekerjasama dengan Pas dalam Pilihan raya Umum ke-14 (PRU14) sebaliknya PH sedang merangka strategi bagi kemungkinan menghadapi pertandingan tiga penjuru.

Penegasan itu dibuat dalam satu kenyataan selepas Majlis Presiden PH yang dipengerusikan Tun Dr Mahathir Mohamad bermesyuaat lebih empat jam malam tadi.

Kenyataan dibuat atas nama Dr Mahathir, Presiden PH Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Timbalan Presiden Tan Sri Muhyiddin Yassin, Lim Guan Eng dan Mohamad Sabu.

Ia timbul apabila Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Azmin Ali minggu lalu mengumumkan sedang ada usaha berbincang dengan Pas secara tidak rasmi, sebagai persediaan PKR menghadapi PRU14.

{loadposition myposition}

Beliau yang juga Menteri Besar Selangor bagaimanapun menjelaskan, perbincangan dengan Pas itu tiada kaitan dengan PH sebaliknya atas inisiatif PKR sepenuhnya.

Berikutan itu, Naib Presiden PKR Rafizi Ramli kelmarin mencadangkan parti itu mengadakan kongres khas peringkat kebangsaan bagi memutuskan sama ada mereka perlu terus berunding dengan Pas atau tidak.

Beliau mendakwa, ketika ini wujud dua kumpulan saling bertentangan dalam parti itu dan masing-masing membawa pendapat berbeza mengenai cara menangani Pas.

Menurut beliau juga, secara rasionalnya, sebarang rundingan di antara PKR-Pas yang tidak melibatkan PH adalah satu usaha yang mustahil membuahkan hasil kerana PKR tidak boleh berunding bagi pihak Amanah dan Bersatu dalam keadaan sebahagian besar tuntutan Pas itu melibatkan Amanah, Bersatu dan DAP.

Rafizi hadir di mesyuarat malam tadi, bagaimanapun Azmin tidak kelihatan.

CATEGORIES
TAGS