Tiada kerusi Dun Melaka bubar, kata SPR

Tiada kerusi Dun Melaka bubar, kata SPR

Dakwaan kononnya dua kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) di Melaka dibubarkan susulan petisyen yang dikemukakan parti pembangkang bulan lalu adalah palsu, menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) negeri.

Pengarahnya, Mohd Haelmy Mohd Hanifah, berkata ini kerana sehingga kini petisyen pilihan raya yang difailkan Umno Melaka ke atas Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Dun  Rembia dan Telok Mas itu belum lagi disebut di mahkamah.

“Bila pula bubarnya? Itu bukan bubar (sebaliknya) pihak lawan (Umno) failkan petisyen, jadi kena tunggu mahkamah bersidang dulu dan sudah pasti ia (keputusan) akan memakan tempoh yang panjang.

“Petisyen ini tidak membabitkan SPR, ia antara calon yang menang dan yang kalah saja,” katanya dipetik NSTP hari ini.

Menerusi kenyataan melalui aplikasi WhatApps yang viral sejak malam tadi, dua Dun dikatakan akan dibubarkan berikutan penyandang mereka daripada PH bermasalah serta tindakan daripada mahkamah.

ADUN Telok Mas, Noor Effandi Ahmad, dikatakan hilang kelayakan sebagai ADUN kerana didakwa masih bekerja ketika menjadi calon, manakala Adun Rembia, Muhammad Jailani Khamis, pula dikatakan berhadapan kes mahkamah kerana didakwa gagal mendaftarkan pernikahan beliau di luar negara.

Pertengahan bulan lalu, Umno Melaka memfailkan petisyen pilihan raya di Mahkamah Tinggi, di sini, bagi mencabar keputusan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) di kerusi Dun Telok Mas dan Rembia.

Pada PRU-14, Noor Effandi menang di kerusi Dun Telok Mas dengan majoriti 1,288 undi, manakala Muhammad Jailani pula menang kerusi DunRembia dengan majoriti 1,814 undi.

0.0
OVERALL SCORE
Have no any user vote
CATEGORIES
TAGS