Malaysia Dateline

Tiada kes coronavirus di Johor, kata Exco

Tiada kes yang disyaki membabitkan jangkitan  coronavirus dilaporkan sehingga kini, di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Kesihatan dan Sumber Manusia Johor, Aminolhuda Hassan, berkata Jabatan Kesihatan Johor sentiasa memantau perkembangan itu, selain memastikan pengesanan awal kes yang berpotensi masuk ke negeri ini.

Katanya, pelawat dari luar negara khususnya negara China dan warga tempatan yang ingin ke luar negara akan dipantau menerusi saringan kesihatan di 12 pintu masuk antarabangsa negeri ini, sama ada darat, laut dan udara.

“Dua kaedah pemantauan dijalankan antaranya sewaktu di dalam penerbangan. Sekiranya ada sakit atau demam, perlu buat laporan secara terus ketika dalam penerbangan.

“Yang kedua, apabila menjalankan saringan kesihatan di sini (pintu masuk negara), jika didapati suhu tinggi melebihi 38 darjah celsius, maka terus memaklumkan kepada pegawai Jabatan Kesihatan Negeri Johor,” katanya seperti dipetik laporan Berita Harian hari ini.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan lawatan penggunaan mesin pengimbas sistem gelombang dan suhu badan bagi saringan kesihatan di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Johor, Liow Cai Tung.

Dalam pada itu, Cai Tung berkata, Jabatan Kesihatan Johor sudah mengadakan perbincangan dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) bagi membincangkan kaedah menguruskan pelawat dari China ketika penyebaran wabak sedang berlaku pada masa kini.

Difahamkan, jangkitan coronavirus mula dikesan di Wuhan, China, sejak Disember tahun lalu.

Sehingga kini, sebanyak 205 kes disahkan dijangkiti wabak dengan kematian dilaporkan di seluruh dunia membabitkan empat negara iaitu China (201), Thailand (2), Korea (1) dan Japan (1).