Malaysia Dateline

‘Tiada kewajaran ke MPOB selepas seolah-olah tiada kepercayaan kepada saya’

Bekas Pengerusi Lembaga Getah Malaysia (LGM), Datuk Ahmad Nazlan Idris berpendapat tiada kewajaran untuk beliau mengambil alih jawatan sebagai Pengerusi Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) selepas apa yang berlaku dengan kaedah penamatan jawatannya di LGM.

“Saya tidak menerima tawaran jawatan di MPOB itu, saya tidak ada masalah dengan kontrak di LGM yang tidak disambung.

“Saya jadi pengerusi (LGM) setahun tiada masalah bagi saya, cuma saya tidak bersetuju dengan kaedah penamatan jawatan itu sahaja,” katanya dalam forum bual bicara menerusi saluran NR Channel TV malam tadi.

Untuk rekod, beliau yang juga Ahli Parlimen Jerantut ditamatkan kontrak sebagai Pengerusi LGM pada 14 April lalu.

Ahmad Nazlan yang juga dikenali sebagai Cikgu Lan itu berkata, beliau kemudiannya ditawarkan sebagai Pengerusi Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).

“Saya diberitahu tamat jawatan pada 12 haribulan, 14 haribulan tamat. Macam seolah-olah ada yang tidak kena di situ.

“Kalau begitu kaedahnya sebagai rakan kepada parti yang memerintah, saya dimaklumkan tamat jawatan sebegitu rupa seolah-olah tiada kepercayaan kepada saya.

“Jadi, apabila tiada kepercayaan kepada saya, tidak ada kewajaran untuk saya pergi mengambil alih jawatan sebagai Pengerusi MPOB. Saya berpegang pada prinsip itu,” katanya lagi.

Pada 3 dan 4 Jun lalu, Ahmad Nazlan dipanggil untuk memberi keterangan di Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Putrajaya berhubung skandal tanah membabitkan LGM.

Sejak bulan lalu, tular di media sosial yang membangkitkan isu penjualan dan pajakan tanah perdana LGM Properties Corporation (LGMPC), iaitu perbadanan milik LGM di bawah harga pasaran.

Ahmad Nazlan bagaimanapun berkata, beliau bersedia disiasat SPRM selepas namanya telah dikaitkan sebagai Pengerusi LGM dalam isu LGMPC berkenaan.

LANJUT MENYUSUL