Malaysia Dateline

Tiada komplot pemimpin Umno Sabah keluar parti, kata Mahathir

Tun Dr Mahathir Mohamad menafikan dakwaan beliau berkomplot dengan pemimpin tertentu dalam UMNO untuk menarik barisan kepimpinan UMNO Sabah bertindak keluar daripada parti di negeri itu.

Perdana Menteri berkata pemimpin Umno  Sabah mempunyai fikiran sendiri dan mereka bebas untuk kekal bersama Umno atau meninggalkan parti itu.

“Mereka mahu keluar. Mereka ada fikiran dan pandangan tersendiri. Jika mereka tidak mahu keluar, mereka boleh kekal dalam Umno,” katanya menurut laporan Bernama.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Proton X70 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini, malam tadi dipetik Astorawani.

Terdahulu pada Rabu, keseluruhan jawatankuasa perhubungan Umno negeri termasuk pengerusinya, Datuk Seri Hajiji Mohd Noor dan 21 ketua Bahagian negeri keluar daripada parti itu.

Hajiji pada sidang media di Kota Kinabalu mengumumkan beliau bersama lima Anggota Parlimen, sembilan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan dua Senator meninggalkan parti UMNO dan mengisytiharkan menjadi ahli politik bebas.

Dr Mahathir, yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH), bagaimanapun, mengesahkan beliau telah menemui beberapa pemimpin UMNO Sabah, baru-baru ini.

Menurutnya, pemimpin-pemimpin tersebut mahu mengadakan pertemuan dengan beliau untuk menyampaikan hasrat mereka untuk meninggalkan UMNO.

“Memang mereka datang dan memaklumkan bahawa mereka mahu meninggalkan UMNO,” katanya.

Ditanya sama ada PH akan menerima bekas pemimpin UMNO Sabah dalam mana-mana parti komponennya, Dr Mahathir berkata mereka perlu kekal sebagai wakil rakyat bebas dan pada masa sama menunjukkan sokongan kepada kerajaan.

“Ia bergantung pada sikap mereka. Jika mereka menyokong dan tidak melakukan kesalahan pada masa lalu, kita akan terima mereka,” katanya.