Malaysia Dateline

Tiada kompromi dalam soal integriti, kata Menteri Pertahanan

Menteri Pertahanan Mohamad Sabu berkata, beliau tidak akan berkompromi dalam soal integriti sekiranya terdapat sebarang kes membabitkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Beliau berpendirian sama dalam siasatan dilakukan SPRM di kementerian pertahanan yang diketuai oleh bekas Ketua Audit Negara Tan Sri Ambrin Buang.

“Saya juga mengalu-alukan siasatan Suruhanjaya Pencegahan SPRM terhadap sesiapa sahaja di Kementerian Pertahanan mahupun di pejabat saya.

“Saya juga bersedia memberikan komitmen dan kerjasama penuh kepada pihak SPRM.

“Bagi saya, tiada kompromi dalam soal integriti.Sekiranya terdapat apa-apa kes, SPRM bolehlah mendakwa individu yang terlibat mengikut saluran undang-undang sedia ada,” ujar Presiden AMANAH itu  dalam kenyataan rasminya yang dikeluarkan oleh Kementerian Pertahanan hari ini.

Mohamad mengulas mengenai kenyataan balas Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Seri Azam Baki, semalam, terhadap laporan portal Malaysiakini yang dipetik sumber mengesahkan berhubung siasatan terhadap pegawai kanan kepada menteri pertahanan itu kemungkinan berlaku salahguna kuasa dalam membayar hutangnya sebanyak RM800,000 bagi supaya namanya dikeluarkan daripada senarai muflis.

Hari ini Pengarah Komunikasi AMANAH Khalid Samad dalam kenyataannya, dipetik berkata, pendirian parti itu yang mengalu-alukan usaha pencegahan rasuah dilakukan SPRM dan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana ahlinya yang disiasat atau didakwa SPRM.

Dalam perkembangan sama Pemuda AMANAH Nasional menerusi kenyataan Naib Ketua Pemudanya Shazni Munir Mohd Ithnin hari ini, turut mengesa pimpinan parti itu ‘merehatkan’ pegawai kanan itu daripada menjalankan tugas bersama Menteri Pertahanan.

BacaAMANAH mengalu-alukan  siasatan SPRM