Malaysia Dateline

Tiada kompromi pemimpin,ahli PKR sokong pengkhianat

Parti Keadilan (PKR) Negeri Pahang tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan tegas kepada ahlinya yang menjadi ‘duri dalam daging’ bagi merosakkan parti dari dalam.

Pengerusinya Fuziah Salleh berkata, PKR Negeri Pahang dukacita kerana akhirnya Kerajaan Pakatan Harapan yang diberi mandat oleh rakyat di dalam PRU14 tumbang.

“Ini bukan kerana kehendak rakyat, tetapi akibat beberapa pimpinan di dalam Pakatan Harapan termasuk di dalam PKR sendiri yang khianat dan rakus kuasa menyebabkan kerajaan yang wujud hari ini tidak lagi mempunyai moral dan amat memalukan.

“Majlis Pimpinan Negeri akan terus memantau setiap pimpinan dan ahli-ahli parti agar mereka tidak menjadi ‘duri dalam daging” bagi merosakkan parti dari dalam

“Tindakan tegas akan diambil kepada mana-mana pimpinan dan ahli di setiap Cabang yang didapati bersekongkol dengan mana-mana parti atau kumpulan yang telah mengkhianati amanah rakyat,” ujarnya dalam kenyataan pada ISnin.

Menurut FUziah MPN Pahang berdiri teguh dengan idealisma perjuangan parti dan setia di bawah kepimpinan Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.

PKR Pahang juga katanya lagi, akan terus setia dan bekerjasama dengan rakan-rakan di dalam Pakatan Harapan iaitu Dap dan Amanah.

“Kita akan terus bekerja kuat bagi menentukan kerajaan pintu belakang yang wujud hari ini akan dapat di ambil alih semula oleh Pakatan Harapan sejajar dengan mandat yang diberikan oleh rakyat di dalam PRU14 yang lalu,” ujarnya.