Malaysia Dateline

Tiada kompromi penghinaan agama dan kaum, kata Mujahid

Kerajaan akan mencadangkan hukuman yang lebih berat dikenakan terhadap orang awam yang menghina islam di media sosial, kata Datuk Seri Dr Mujahid Yusof.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu berkata kerajaan menerima beberapa rungutan orang awam berkaitan posting-posting yang bersifat menghina Islam dan memandang serius hal tersebut.

Katanya orang ramai tidak harus menjadi penyambung lidah penghinaan kepada Islam dengan bertindak berkongsi posting-posting dan juga screenshot tersebut.

“Dalam proses ini, saya menyeru orang ramai untuk membuat laporan polis bagi memudahkan pihak berkuasa bertindak.

“Jika kita sayangkan Islam, jadilah ummah yang cakna. Buat laporan ke balai polis terdekat untuk membantu pihak berkuasa bertindak,” katanya melalui entri facebooknya hari ini.

Beliau turut menegaskan kerajaan tidak akan berkompromi dengan sebarang bentuk penghinaan terhadap Islam mahupun agama-agama lain dan juga kaum.