Malaysia Dateline

Tiada lagi alasan untuk Parlimen tidak bersidang

Dzulhilmi Zainol

Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor menegaskan wujud keperluan mendesak untuk Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin terus menjunjung penegasan Yang di-Pertuan Agong untuk mengadakan sidang Parlimen.

Naib Ketuanya, Dzulhilmi Zainol berkata, tiada lagi alasan untuk Muhyddin dan Kabinetnya untuk terus menggantung fungsi Parlimen selepas Agong bertitah bahawa Parlimen boleh bersidang semasa tempoh darurat berkuatkuasa.

“Proses semak dan imbang sangat mustahak kerana setiap proses dalam melaksanakan polisi atau dasar perlu dibahaskan oleh semua Ahli Dewan Rakyat dan Dewan Negara supaya tidak timbul sebarang pelaksanaan yang memungkinkan berlakunya penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa.

“Kerajaan perlu menghormati saranan dan nasihat yang disampaikan oleh Yang di-Pertuan Agong dengan mengadakan sidang Parlimen dengan kadar yang segera,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al Mustafa Billah Shah menitahkan bahawa Parlimen boleh bersidang semasa tempoh darurat berkuatkuasa pada suatu tarikh yang difikirkan sesuai.

Perkara itu dimaklumkan Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin dalam satu kenyataan Istana Negara semalam.

“Dalam sesi menghadap ini, Seri Paduka Baginda telah menegaskan bahawa Malaysia sebagai sebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi yang berteraskan prinsip keluhuran perlembagaan, setiap cabang pentadbiran negara sama ada pihak eksekutif, kehakiman mahupun Parlimen haruslah sentiasa akur kepada prinsip tersebut,” katanya.