Kerajaan pada ketika ini sedang mengusahakan dan mengambil pendekatan bermakna membabitkan bantuan dan subsidi, termasuk menghapuskan pengkelasan kategori gaji mulai 2024.
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata kerajaan perlu memastikan bahawa semua infrastruktur tersedia dan melakukan ujian perintis, sebelum memutuskan apakah tahap pendapatan yang layak diberikan bantuan, lapor Astro Awani.
Kata Rafizi, kerajaan sedang cuba meminimumkan ralat pengecualian subsidi yang berlaku akibat pengkelasan kategori gaji, namun ia perlu dijalankan secara berperingkat.
“Di peringkat kerajaan, di pihak Majlis Tindakan Ekonomi (MTEN) contohnya, minggu ini kita sudah mula bincang simulasi, siapa yang patut dapat apa, apakah pendekatan yang akan diberikan, adakah bantuan anak sejagat, adakah akan diberi penambahan nilai pendapatan dan sebagainya.
“Semua sudah dibincangkan. Saya rasa tahun depan anda akan melihat peralihan daripada subsidi blanket dan pengkelasan T20, B40, M40, perlahan-lahan akan dihapuskan.
“Kami akan melancarkan satu demi satu, bantuan sosial yang disepadukan berdasarkan pendapatan boleh belanja bersih isi rumah,” katanya.
Jelas Rafizi lagi, perkara itu mampu direalisasikan dengan kerjasama pelbagai agensi menerusi perkongsian dalam Pangkalan Data Utama (Padu), sekali gus memastikan keberkesanan pelaksanaan program subsidi kerajaan.
Mei lalu, Rafizi memaklumkan kerajaan akan mula melaksanakan peralihan dasar sosioekonomi daripada pendekatan berasaskan pendapatan B40, M40 dan T20 kepada berasaskan pendapatan boleh belanja bersih isi rumah, bermula Januari 2024.
Baca juga: Barang selalu hilang dan bilik bau hamis, rupanya wanita disukai jin sejak kecil