Tiada lagi lesen nelayan ‘laluan politik’ di Negeri Johor

Tiada lagi lesen nelayan ‘laluan politik’ di Negeri Johor

Setiausaha AMANAH Johor Khairuddin A Rahim berkata terdapat rungutan serta laporan daripada pihak nelayan di perairan Batu Pahat yang mendakwa berlaku pemberian lesen nelayan secara pilih bulu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Senggarang itu juga berkata lesen tersebut diberikan kepada mereka yang menyokong Umno Barisan Nasional (BN) sebelum ini.

“Terdapat nelayan yang diberikan layanan istimewa kerana ada di kalangan penerima lesen tersebut tidak mempunyai bot.

“Tinjauan telah dibuat dan memang pihak kami mendapati ada nelayan yang tidak mempunyai bot tetapi mempunyai lesen nelayan.

“Ia diberikan untuk para nelayan terbabit mendapat bantuan sara hidup nelayan yang dibayar oleh pihak kerajaan secara bulanan,” ujar Khairuddin ketika ditemui.

Beliau diminta mengulas mengenai wujudnya lesen nelayan laluan politik sebelum ini yang telah mendapat perhatian pihak Parti Amanah Negara (AMANAH) Negeri Johor yang telah mengenal pasti berlakunya perkara tersebut.

Khairuddin A Rahim (kanan) sedang mendengar luahan dari nelayan di Batu Pahat Johor.

Tambah Khairuddin lagi, beliau akan membawa perkara ini ke dalam pemerhatian pihak kerajaan agar sebarang salah laku akan diselidik dan diambil tindakan kepada pihak terbabit sebelum ini.

“Perkara ini akan dibawa untuk semakkan dari segi undang-undang dan juga akan terus menyiasat untuk membongkarkan permasalahan ini.

“Syor untuk kerajaan negeri mengenakan tindakan kepada pemberi lesen ini akan dicadangkan oleh pihak kami,” ujarnya.

Beliau juga akan membawa cadangan bagi mempermudahkan pemberian lesen nelayan kepada mereka yang benar-benar mempunyai kemampuan sebagai nelayan.

Selain itu beliau juga berkata akan membela nasib nelayan terutamanya di DUN beliau dengan mewujudkan sistem keadilan dan sekaligus memperjuangkan taraf hidup nelayan di sekitar Batu Pahat.

9.0
OVERALL SCORE
: 9.0
Have no any user vote