Tiada lagi mangsa fitnah seperti Anwar

Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim malam tadi berkongsi nasihat Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhamad V yang mahu supaya tiada lagi yang akan menjadi mangsa fitnah sepertinya.

Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata, baginda memberi nasihat tersebut kepadanya ketika beliau menemui Tuanku pada malam pembebasannya selepas menerima pengampunan Diraja.

Menurut Anwar, Tuanku tidak mahu perkara zalim yang berlaku ke atasnya berulang kepada orang lain.

“Ini bukan sebab kuasa, tapi saya percaya Datuk Seri tidak bersalah dan saya tahu ada pelanggaran hukum di situ (tuduhan liwat ke atas Anwar).

“Bila berkuasa, jangan izinkan perkara zalim seperti ini berlaku pada orang lain,” nasihat baginda yang dikongsikan Anwar sempena program Meet Anwar Ibrahim di Universiti Selangor (Unisel), di Kuala Selangor malam tadi.

Beliau berkata demikian selepas ditanya pelajar Unisel tentang tuduhan liwat yang dihadapi beliau, dalam sesi soal jawab pada program itu.

“Saya nak tahu, sama ada pihak mana yang bersalah dalam kes liwat terdahulu sama ada Datuk Seri (Anwar) bersalah atau ini satu fitnah pihak sebelah sana?,” soal seorang penuntut jurusan Bahasa Inggeris Sebagai Bahasa Kedua (TESL).

Sehubungan itu, Anwar menasihatkan para penuntut universiti supaya banyak membaca untuk mencari kebenaran dan tidak menjadi mangsa fitnah.

“Ini soal dakwaan. Kita telah terangkan.

“Sekarang dah 2018, kamu (merujuk soalan penuntut terbabit) baca, dengar apa?. Itu kamu baca surat khabar tahun 2015… kita telah terangkan secara jelas melalui Facebook dan YouTube,” jawab Anwar.

“Di Port Dickson (musim PRK lalu) orang tidak mahu dengar dah (kes liwat), dah bosan.

“Banyak buku, artikel dan video yang telah diterbitkan untuk menjelaskan perkara itu secara terperinci… bacalah,” seru Anwar lagi.

 

8.0
OVERALL SCORE
: 10.0
1 user vote x 6.0